TAHUN 2025 menyaksikan landskap hiburan tanah air dikejutkan dengan pelbagai isu sensasi dan kontroversi melibatkan selebriti terkenal.
Daripada dakwaan jenayah berat sehinggalah konflik peribadi yang tular di media sosial.
Hampir setiap bulan muncul cerita yang mencuri perhatian dan mencetuskan perbualan hangat netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: Sorotan 2024: Aliff Aziz dan Ruhainies paling kontroversi, kes mahkamah pendakwah selebriti turut curi perhatian
ARTIKEL BERKAITAN: Sorotan 2023: Isu kahwin 2 Abang Tesla dan Alif Teega undang kemarahan, perbalahan adik-beradik Shila Amzah paling dapat perhatian
Antara paling mengejutkan adalah kes membabitkan penyanyi dan pelakon Naim Daniel yang menggemparkan peminat susulan dakwaan serius terhadap dirinya.
Selain itu, suasana malam anugerah yang sepatutnya diraikan bertukar canggung hingga tular di media sosial apabila penyanyi Bella Astillah serta pelakon Sophia Albarakbah bertemu di atas pentas Anugerah Melodi Terhangat 2025, sekali gus mencetuskan spekulasi dan reaksi hangat netizen.
Menjelang penghujung tahun, kontroversi membabitkan Rita Rudaini pula mencuri perhatian apabila dua individu memfailkan saman terhadapnya.
Berikut adalah rangkuman 11 kontroversi paling mendapat perhatian sepanjang tahun 2025 dan meninggalkan kesan besar dalam industri hiburan tempatan:

Kes Naim akan dibicarakan pada 31 Mac tahun depan.
1. Naim Daniel dakwaan amang seksual
Nama penyanyi dan pelakon Naim Daniel menjadi tumpuan apabila didakwa di mahkamah atas pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Kes ini mengejutkan peminat kerana Naim sebelum ini dikenali dengan imej bersih.
Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan mahu membersihkan namanya.
Mahkamah Sesyen Putrajaya menetapkan perbicaraan kes ini selama empat hari bermula 31 Mac tahun depan.

Bella ketika serahkan trofi dan bunga kepada Sophia.
2. Bella Astillah vs Sophia Albarakbah
Malam Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) yang berlangsung pada 3 Ogos lalu menyaksikan penyanyi dan pelakon, Bella Astillah menyerahkan trofi kategori Selebriti Feminin Terhangat kepada aktres Sophia Albarakbah.
Suasana atas pentas dilihat canggung kerana Bella dilihat tidak bersalaman atau memandang ke arah Sophia.
Isu ini tercetus disebabkan Sophia sebelum ini dikatakan cuba mendekati bekas suaminya yang juga penyanyi Aliff Aziz ketika mereka masih dalam perkahwinan.
Disebabkan 'drama' yang berlaku, Sophia tampil membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur berhubung kecaman, ugutan, komen lucah serta gangguan seksual online selepas kemenangannya.
Rita berdepan saman fitnah oleh dua orang ahli akademik.
3. Rita Rudaini disaman
Pelakon Rita Rudaini berdepan saman oleh Yang Dipertua MUAFAKAT Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor dan Naib Yang Dipertuanya, Dr Saidah Haris @ Harith susulan dakwaan fitnah dan kegagalan mematuhi notis tuntutan RM1 juta.
Pada 6 Disember lalu, dua pensyarah berkenaan melalui peguam mereka, Datuk Adnan Seman, berkata saman itu difailkan selepas Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, memuat naik kenyataan berbaur fitnah menerusi Instagram, WhatsApp dan beberapa platform komunikasi lain.

Amy dikatakan marah terhadap Shila.
4. Shila Amzah, kes dihardik Amy Search
Pada 10 Julai lalu penyanyi Shila Amzah membuat laporan polis menyatakan dirinya telah diserang penyanyi legenda sebelum mengesahkan individu yang dimaksudkan adalah bapa kepada pelakon Nabila Huda iaitu Datuk Suhaimi Abdul Rahman, 67, atau Amy Search.
Berdasarkan siasatan awal, punca ketegangan itu disebabkan Amy tidak berpuas hati kerana Shila didakwa mencampuri urusan keluarganya.
Rentetan itu, Amy pula tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Julai lalu.
Amy yang diwakili peguamnya, Datuk M Reza Hassan juga sudah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada Shila.

Kemelut Anna dan ibunya menjadi antara bualan hangat netizen pada tahun 2025.
5. Isu Anna Jobling bersama ibu
Pelakon Anna Jobling didakwa berdepan konflik dengan ibunya, Ariz Arop, yang tular sejak tiga bulan lalu.
Ariz mendakwa dilayan seperti 'anjing jalanan' selepas Anna menjadi terkenal, walaupun banyak berkorban demi kejayaan anaknya itu.
Bagaimanapun dalam sebuah majlis anugerah baru-baru ini, Anna dilihat berpelukan dengan ibunya yang hadir ke acara berkenaan sekali gus menamatkan ketegangan antara hubungan ibu dan anak.
Anna juga memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai konflik yang berlaku.

Namawee mengaku tidak bersalah terlibat kes dadah dan tampil serah diri kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pempengaruh wanita.
6. Namewee kes dadah & bantu siasatan kematian pempengaruh Taiwan
Pengarah serta penyanyi kontroversi, Namewee ditahan selepas didakwa ada dalam milikannya dadah disyaki jenis Ecstasy dengan anggaran berat 5.12 gram di bilik sebuah hotel di Jalan Conlay, Kuala Lumpur pukul 4.30 petang, 22 Oktober lalu.
Selain itu, Namewee turut didakwa memberikan diri sendiri dalam badannya, dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carbolic acid (THC) dan Ketamine.
Bagaimanapun Namewee mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan kes ditangguhkan pada Isnin ini dan Januari depan kerana dijangkiti Influenza A.
Dalam pada itu, Namewee tampil menyerah diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 5 November lalu bagi membantu siasatan berhubung kes pempengaruh wanita warga Taiwan yang ditemui maut di sebuah hotel.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan mendapati Namewee disyaki telah bersama mangsa sejak dari luar negara sehingga kedua-dua mereka berada di negara ini.
Menurutnya, siasatan masih berjalan dan melihat daripada semua sudut termasuk individu terakhir yang bersama mangsa akan disiasat.
Iqbal mengaku tak bersalah atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap remaja perempuan.
7. CEO Batu dakwaan amang seksual
Pempengaruh media sosial CEO Batu atau Muhamad Iqbal Muhamad, 22 tahun, didakwa atas pertuduhan amang seksual bukan fizikal terhadap remaja perempuan.
Kes ini berlaku selepas ibu remaja berusia 14 tahun membuat laporan polis mengenai kiriman mesej dan foto berunsur lucah sejak Mei 2025.
Pada 10 Julai 2025, CEO Batu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dan mengaku tidak bersalah.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan syarat tambahan.
Kes masih dalam siasatan dan perbicaraan di mahkamah.

Dayang terkejut namanya dipetik netizen mengenai foto dua pelakon bercium.
8. Isu foto ‘comolot’, Dayang Areeeda dan Haziq Dean terpalit
Pada Ogos 2025, tular sebuah foto yang menunjukkan dua pelakon melakukan aksi bercium di photobooth hingga mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen.
Nama pelakon Dayang Areeda dan Hazeeq Dean turut diheret dalam kontroversi itu.
Bagaimanapun, Dayang mengaku terkejut dan memilih untuk tidak mengulas panjang.
Manakala Hazeeq menyatakan dia tidak mengetahui tentang isu tersebut serta menegaskan mahu menghormati privasi semua pihak.

Yassin tegaskan apa yang berlaku sebagai salah faham.
9. Yassin Senario ditahan di Arab Saudi
Pelawak Yassin Yahya menjadi perhatian selepas dilaporkan ditahan di Jeddah, Arab Saudi, apabila barangan peribadinya disalah tafsir sebagai dadah.
Yassin bagaimanapun menafikan dirinya terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan menyifatkan pengalaman itu sebagai ujian hidup serta salah faham undang-undang tempatan.

Bidaah cetus perdebatan besar di kalangan netizen yang menonton drama berkenaan.
10. Drama Bidaah cetus kontroversi
Gara-gara adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul yang menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid menggunakan kakinya, drama bersiri Bidaah dikecam dan menjadi perdebatan ramai dalam media sosial.
Malah karya arahan Pali Yahya serta diterbitkan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima itu turut mendapat teguran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana dikatakan mampu memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Teguran itu disambut baik oleh Erma yang akur dengan teguran JAKIM dan bersedia memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.

Hubungan cinta Ameera dan Jefri didakwa sudah berakhir.
11. Ameera Khan Putus Cinta
Hubungan Ameera Khan dan Jefri Nichol nampaknya seperti sudah menemui titik noktah apabila pasangan itu dikatakan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing selain beberapa foto romantis turut dipadam.
Meskipun tiada pengumuman rasmi daripada kedua-dua pihak, namun kisah cinta mereka yang dikatakan sudah berakhir terus menjadi bualan ramai di media sosial sehingga hari ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!


