suria

Tujuh tahun pujuk, Sweet Qismina akhirnya beri ‘green light’… Sokong minat Adam Lee sertai pertandingan Muay Thai

Sweet sokong penuh minat Adam dalam sukan Muay Thai.

PELAKON Sweet Qismina menyokong penuh keputusan suaminya, aktor Adam Lee, yang bakal menyertai sebuah pertandingan Muay Thai pada 28 Disember ini, meskipun sedar sukan tersebut berisiko dan mencabar fizikal.

Menurut Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 28, minat Adam terhadap Muay Thai bukan perkara baharu kerana suaminya itu sudah mempunyai latar belakang dalam sukan berkenaan sejak usia muda.

“Tujuh tahun kenal dan tujuh tahun juga dia pujuk saya. Adam memang mempunyai latar belakang Muay Thai sejak usia muda, bermula dari zaman sekolah lagi.

Sweet ketika memberi hadiah barangan Muay Thai pada Adam.

“Ketika di sekolah, dia memang aktif dalam sukan tersebut dan pernah menyertai pertandingan. Jadi apabila dia bertemu dengan saya yang lebih lembut dan gemalai, pada awalnya saya rasa agak berat untuk menerima.

“Namun, saya bukanlah seorang isteri yang suka kongkong suami. Setiap kali berdepan perkara seperti ini, saya memilih untuk menyokongnya kerana saya percaya itu adalah impian dia,” katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut, Sweet berkata sokongan yang diberikan adalah tanda kepercayaan terhadap impian suaminya, apatah lagi Adam benar-benar bersungguh-sungguh dengan keputusan tersebut.

Tambahnya, Adam menunjukkan keterujaan yang jelas sebaik menerima tawaran menyertai pertandingan berkenaan dan perkara pertama yang dilakukan aktor itu adalah meminta pandangan serta keizinannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Sweet Qismina hadiahkan seluar Muay Thai ‘custom’, Adam Lee sebak… Doa dapat beri kejutan ujian kehamilan selepas ini

ARTIKEL BERKAITAN: Sweet Qismina ‘nervous’ menang anugerah, Adam Lee dah jangka isteri tak sebut nama atas pentas bakal jadi isu

“Dia memang benar-benar mahu. Maka, sebagai seorang isteri, tugas saya adalah memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik untuknya, bukan menghalang.

“Apabila dia mendapat tawaran untuk menyertai pertandingan tersebut, reaksinya sangat teruja dan gembira. Perkara pertama yang dia lakukan ialah meminta pandangan dan keizinan daripada saya. 

"Dia berkata, ‘Sayang, boleh tak saya buat semua ini?’ Jelas dia benar-benar menginginkannya, jadi saya tidak sampai hati untuk menidakkan hasrat tersebut. Dia sangat bahagia dengan peluang yang diterima,” jelasnya.

Sementara itu, Sweet percaya hubungan rumah tangga yang dibina atas dasar kepercayaan akan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan masing-masing perlu memberi ruang kepada pasangan untuk mengejar impian.

Adam akan beraksi di pertandingan Muay Thai pada 28 Disember ini.

Malah, Sweet turut memaklumkan Adam kini giat menjalani latihan intensif sebagai persiapan menjelang pertandingan Muay Thai tersebut.

“Kami percaya bahawa apabila suami isteri saling mempercayai, Allah akan menjaga kami sebaik mungkin. Jadi, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik dan berharap tiada perkara buruk berlaku.

“Setakat ini, dia memang kerap menjalani latihan. Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum pertandingan.

“Latihannya semakin intensif termasuk latihan Muay Thai, angkat berat, hyrox, bermain pickleball dan berjoging. Semua aktiviti yang diminatinya, dia lakukan dengan penuh disiplin,” katanya.

Untuk rekod, Sweet dan Adam mendirikan rumah tangga pada 24 Oktober 2022.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain