suria

Digantung tak bertali hampir 15 tahun, Mak Jah dedah kena kahwin paksa oleh keluarga… “Suami saya pukul sampai pengsan”

Mak Jah pernah digantung tak bertali selama 15 tahun oleh suami.

PELAKON Mak Jah berkongsi kisah penuh penderitaan yang terpaksa ditanggung sepanjang menjalani kehidupan rumah tangga apabila mendakwa ‘digantung tak bertali’ hampir 15 tahun.

Mak Jah atau Maimunah Ahmad, 76, berkata dia terpaksa bertahan dalam perkahwinan tersebut kerana tiada sebarang tindakan mampu dibuat pada ketika itu.

Menurut Mak Jah, demi kelangsungan hidup dan memastikan anak-anak tidak kelaparan, dia bekerja sebagai jurusolek artis untuk mencari rezeki sendiri.

"Hampir 15 tahun saya digantung tak bertali. Waktu itu umur saya dalam 30 tahun lebih. Saya nak pergi buat laporan pun tak ada duit. 

Mak Jah (kanan) membuat pendedahan dalam audio siar Hitam Putih Kehidupan.

Mak Jah (kanan) membuat pendedahan dalam audio siar Hitam Putih Kehidupan.

"Saya cari rezeki jadi mekap artis untuk bagi anak makan. 

"Kalau dia balik saya selalu larikan diri, saya tak nak bertembung dengannya. Dia tak ada bagi belanja macam mana saya nak makan," katanya. 

Mak Jah berkongsi perkara itu menerusi temu bual audio siar Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik di saluran YouTube. 

Dalam pada itu, Mak Jah turut mendedahkan dia pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga terpaksa menyerahkan wang hasil titik peluh yang diusahakannya. 

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah derita kanser rahim, Mak Jah bersyukur tidak minta bantuan orang... Pesan rakan artis bijak urus kewangan

ARTIKEL BERKAITAN: Rosyam Nor hadiah Mak Jah kerusi roda elektrik, siap bagi belanja RM500 sebulan!

Kongsi Mak Jah, dia pernah dipukul sehingga pengsan menyebabkan anak lelakinya terpaksa campur tangan untuk mempertahankannya. 

"Kalau duit dia, duit dia... Duit kita pun duit dia macam mana? Kalau saya tak bagi dia curi, tak dapat curi saya dipukul. 

" Suami saya pukul sampai pengsan. Anak saya sampai melawan pukul dia balik. Anak lelaki saya pada waktu itu dia dah besar, dia tumbuk bapa dia. 

"Daripada situlah saya nekad yang kami tidak akan berbaik dan takkan berjumpa dia lagi. Saya tak mahu dengar pun suara dia lagi," ujarnya.

Dalam pendedahan sama, Mak Jah turut berkongsi bahawa perkahwinan tersebut bukan atas kerelaan dirinya, sebaliknya diatur oleh keluarga.

Mak Jah pernah melalui detik hitam dalam perkahwinan.

Mak Jah pernah melalui detik hitam dalam perkahwinan.

Kata Mak Jah, perkenalan mereka hampir tidak wujud, malah dia tidak pernah melihat wajah bakal suaminya sebelum majlis berlangsung.

"Saya kahwin bukan dengan reda saya. Ia atas kehendak keluarga. Saya tak boleh nak cakap apa. Tak ada tempat untuk saya lari dah.

"Saya terpaksalah menikah malam itu. Saya tak kenal dia pun. Mak saudara saya yang jodohkan kami. 

"Saya tak tengok pun orangnya, tak tahu pun macam mana rupanya. Ada keluarga bagi gambar tapi saya tak tengok," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain