suria

Perjalanan Ke Majlis Kenduri Di Afghanistan Yang Penuh Dengan Ancaman & Gelora

TERDAPAT satu tahap, kejadian letupan bom di Afghanistan dan Pakistan bukan lagi menjadi satu bahan berita kerana ia berlaku hampir setiap hari, minggu dan bulan.

Tetapi insiden yang berlaku sejak sebulan ini wajar mendapat perhatian bukan kerana nilai beritanya tetapi kerana iktibar yang boleh kita ambil untuk renungan bersama.

Bayangkanlah, di Afghanistan sekarang, perjalanan menuju ke majlis perkahwinan tidak lagi selamat buat orang awam kerana mereka terdedah kepada letupan bom yang dipasang di tepi jalan utama di kawasan pergunungan.

Dalam tempoh sebulan ini, dua kejadian letupan bom tepi jalan telah mengorbankan begitu banyak nyawa.

Kurang lebih tiga minggu yang lalu, satu letupan bom tepi jalan telah mengorbankan 10 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak yang dalam perjalanan menuju ke majlis perkahwinan.

Dan pada Jumaat, 16 November, sebuah bom yang diletakkan di tepi jalan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang awam - kebanyakkannya wanita dan kanak-kanak - yang juga sedang dalam perjalanan ke satu majlis perkahwinan di Barat Afghanistan.

Kesemua mangsa berada dalam sebuah bas mini yang dalam perjalanan dari sebuah perkampungan ke sebuah lagi perkampungan yang mengadakan kenduri berkenaan.

Menurut statistik yang dikumpulkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sejumlah 1,145 orang awam Afghanistan terkorban dalam kejadian letupan bom dan tembakan rambang manakala 2,000 lagi tercedera.

Wanita dan kanak-kanak merangkumi 30 peratus daripada mangsa berkenaan.

Awal minggu ini, seorang ibu dan bayinya yang baru sahaja dilahirkan telah menjadi korban letupan bom di tepi jalan.

Ibu tersebut bersama bayinya itu dan enam ahli keluarganya yang lain sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari hospital selepas selamat bersalin tetapi malangnya dia dan bayinya tidak selamat daripada letupan bom yang dipasang di tepi jalan.

Sejarah Afghanistan diwarnai dengan perjuangan menentang penjajahan. Pertama daripada British, kemudian daripada Rusia dan kini daripada Amerika.

Ada sejarawan berkata, Afghanistan tidak pernah dijajah tetapi kita kini tidak pasti apakah sejarah itu patut dibanggakan jika warganya sendiri tidak selamat dan bebas daripada ancaman maut.

Tetapi oleh kerana sejarah mereka sentiasa bermandikan darah, seorang warga Afghan yang pernah menjadi pelarian ke Malaysia suatu ketika dahulu pernah memberitahu penulis, jiwa mereka kosong daripada berasa terancam.

Maka oleh yang demikian, penulis faham mengapa, walaupun diancam oleh maut, orang awam Afghanistan tetap menjalani kehidupan seperti biasa.

Mereka tahu setiap minggu ada saja letupan bom di tepi jalan tetapi esok, mereka tetap akan melalui jalan yang sama tanpa berasa apa-apa.

Ini kerana jiwa mereka telah menjadi kosong dan kekosongan itu tidak mengundang perasaan takut dan terancam.

Dengan sebab itu jugalah, mereka keluar ke majlis kenduri sepertimana biasa seolah-olah tidak ada apa yang berlaku sedangkan mereka tahu hanya beberapa hari yang lalu, 10 orang dari satu kampung maut dimamah letupan.

Penulis bersyukur, kita dilahirkan di sebuah negara yang aman daripada ancaman ini semua walaupun kita hidup dalam sebuah masyarakat yang majmuk.

Jika dibandingkan dengan Afghanistan, boleh dikatakan 99 peratus penduduknya beragama Islam tetapi mereka berbunuhan sesama sendiri seolah-olah Islam yang melarang umatnya berbunuhan tidak membawa apa-apa makna kepada mereka semua.

Lebih membingungkan, mereka boleh dikatakan lebih warak dan lebih terdedah kepada amalan agama berbanding kita semua, tetapi pembunuhan tetap berlaku setiap hari.

Penulis mendoakan kepada Tuhan agar kita semua dilindungi daripada ancaman seperti ini kerana jumlah majlis kenduri di negara kita adalah antara yang tertinggi di dunia.

Jika Malaysia sepertimana Afghanistan, entah bagaimana agaknya perjalanan kita menuju ke majlis kenduri perkahwinan.

Artikel Berikut

Artikel Lain