PELAKON Eyra Hazali berkongsi pengalaman cemas apabila anak keduanya, Endra, disahkan menghidap masalah tonsil tahap empat sehingga terpaksa menjalani pembedahan pada Julai lalu.
Eyra atau nama sebenarnya Hazira Qasdina Hazali, 26, berkata dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila Endra kerap berdengkur kuat ketika tidur selain pernafasannya tidak normal.
“Anak tidur berdengkur tak normal. Endra tidur berdengkur dan saya sangka itu perkara biasa, sehinggalah saya sedar dia berhenti bernafas sekejap kemudian asyik kencing tiap-tiap malam,” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Tonsil yang berjaya dikeluarkan.
Dalam hantaran itu, Eyra turut berkongsi foto yang memaparkan dua tonsil yang berjaya dikeluarkan hasil pembedahan tersebut.
Susulan itu, Eyra membawa Endra mendapatkan pemeriksaan pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) sebelum doktor mengesahkan kedua-dua tonsil anaknya membengkak pada tahap empat.
Menurut Eyra, kebimbangannya bertambah apabila anaknya itu turut mengalami masalah kerap membuang air kecil pada waktu malam tanpa sebab yang jelas sebagai isyarat daripada tubuh badan.
ARTIKEL BERKAITAN: Eyra Hazali ajar anak tutup mata masuk tandas wanita, elak rasa tak selesa pengguna lain
ARTIKEL BERKAITAN: Lebih suka kritik daripada nasihat, Eyra Hazali ‘sound’ ibu bapa terpaling bagus besarkan anak
“Bila bawa ke ENT, doktor dapati kedua-dua tonsil Endra bengkak tahap empat dan hampir menutup laluan pernafasan.
“Ramai yang tanya apa kena-mengena dengan kencing. Bila oksigen tak sampai ke otak, otak akan menghantar isyarat kepada badan untuk kencing supaya badan menjadi peka dan terjaga daripada tidur,” jelasnya.
Tambah Eyra, dia tidak menunggu lama selepas mengetahui tahap kesihatan anaknya serius dan Endra terpaksa menjalani pembedahan pada usia tiga tahun.
Jelasnya, sepanjang tempoh pemulihan, gelagat Endra seakan-akan bayi yang baru lahir kerana memerlukan perhatian rapi dan kerap menangis.

Eyra dan Haziq mempunyai tiga cahaya mata bersama.
“Seminggu itu macam bayi baru lahir. Bangun tengah malam dia menangis, kena selalu bagi air walaupun dia bangun tengah malam. Setiap kali makan, kena bagi aiskrim,” kongsinya.
Untuk rekod, Eyra mendirikan rumah tangga dengan penjaga gol Harimau Malaya, Haziq Nadzli, pada 1 November 2019.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hayder Qhalish, 5, Muhammad Endra Haqimie, 3, dan Muhammad Hud Ezqandar yang kini berusia setahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


