suria

Anggota Penguat kuasa Diminta Berhati-Hati Kendali Maklumat Kerajaan

KUALA LUMPUR: Para pegawai dan anggota agensi penguat kuasa kerajaan yang menggunakan telefon pintar dalam urusan kerja mereka diminta berhati-hati bagi memastikan tidak berlaku ketirisan terhadap sebarang maklumat rahsia tugasan agensi mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata meskipun teknologi mampu memudahkan urusan kerja, namun dalam konteks pengurusan maklumat kerajaan termasuk maklumat agensi, ia masih tertakluk di bawah akta yang mana ia tidak boleh disebarkan begitu sahaja.

"Dalam pengurusan maklumat atau kerahsiaan kerajaan, pegawai atau anggota kerajaan tidak dibenarkan menyalin sebarang maklumat di dalam barangan milik peribadi termasuk di dalam telefon pintar mereka kerana dikuatiri sekiranya berlaku penggodaman, ia akan menyebabkan maklumat berkenaan tersebar," katanya kepada Bernama.

Sekiranya ini berlaku, pegawai atau anggota terbabit boleh didakwa di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, tambahnya.

Pada Jun tahun lepas, isu keselamatan siber pernah timbul apabila sekurang-kurangnya 41 laman web agensi kerajaan mengalami gangguan selepas digodam, namun menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, tiada data peribadi atau kewangan yang terancam.

Syed Ismail berkata jabatan kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menguruskan keselamatan dokumen berperingkat dan mereka tidak boleh menguruskan maklumat tersebut menggunakan barangan milik peribadi termasuk sama ada menyalin di dalam telefon bimbit atau thumb drive.

Beliau menjelaskan meskipun setakat ini belum terdapat laporan ketirisan maklumat, namun langkah berjaga-jaga perlu diambil dari semasa ke semasa.

"Kebimbangan itu wajar dititikberatkan berikutan telah wujud sindiket untuk menipu masyarakat melalui Internet untuk wang dan tidak mustahil maklumat rahsia kerajaan juga menjadi menjadi sasaran sindiket bagi tujuan tertentu dan menjual maklumat itu kepada pihak luar," katanya.

Beliau berkata sebanyak 24 kes kegiatan menggodam yang melibatkan kerugian kira-kira RM3.3 juta dilaporkan dalam tempoh Januari hingga September tahun ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Ketua Pembangunan Perniagaan CyberSecurity Malaysia Mohd Anwer Mohamed Yusoff sebagai berkata negara mencatat anggaran kerugian sebanyak RM2.75 bilion dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini akibat daripada jenayah siber khasnya dalam sektor kewangan. BERNAMA

Artikel Lain