Abang Anggota Parlimen Jempol Maut Kemalangan

JEMPOL: Udin Yasin, abang kepada Anggota Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin maut selepas kereta yang dinaiki bersama isterinya merempuh belakang sebuah lori simen di satu persimpangan lampu isyarat di Kilometer 1, Jalan Mahsan-Bahau di sini pada Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu menyebabkan Udin, 74, dan isterinya Sanah Ismail, 72, mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jempol Sup Hamzah Alias berkata ketika kejadian mangsa bersama isterinya yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja dalam perjalanan dari Bandar Seri Jempol menghala ke Bahau.

Katanya, apabila sampai di satu persimpangan lampu isyarat kereta yang dipandu Udin dipercayai merempuh belakang sebuah lori simen yang sedang berhenti.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan Udin disahkan maut di tempat kejadian sementara Sanah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jempol," katanya di sini Rabu.

Katanya, mayat Udin turut dibawa ke hospital Jempol untuk bedah siasat bersama mayat isterinya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain