suria

SPRM Jangka Kes Tertunggak Dapat Diselesaikan Akhir Tahun Ini

KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan semua kes tertunggak dapat dibicarakn di mahkamah menjelang akhir tahun ini berikutan pelaksanaan 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di seluruh negara sejak 16 Februari 2011.

Pengarah Bahagian Pemantau dan Penyelarasan NKRA Rasuah SPRM Datuk Hisham Nordin berkata berkata sejak tahun 2010 terdapat kira-kira 700 kes tertunggak dan kini sebahagian besarnya telah dibicarakan.

Bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat kejayaan NKRA memerangi rasuah anjuran SPRM Perlis dan kerajaan negeri Perlis di sini, Isnin, beliau berkata kes yang tertunggak begitu lama akan menimbulkan masalah termasuk boleh mempengaruhi keputusan mahkamah.

Beliau berharap para penjawat awam dan orang ramai turut seiringan dengan kerajaan dalam memerangi rasuah dan menurutnya setiap pemberi maklumat atau saksi akan diberi perlindungan.

Menurutnya bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 75 pemberi maklumat telah dilindungi manakala saksi yang dilindungi adalah sebanyak 17 orang.

Beliau turut memuji 70 anggota polis yang telah menolak cubaan merasuah mereka sejak awal tahun ini dan mereka telah membuktikan kepada masyarakat bahawa amalan itu menimbulkan ancaman kepada negara.

Sementara itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika merasmikan taklimat itu berkata beliau yakin Perlis akan dapat mencapai sasaran sebagai negeri Maju pada 2015 dengan lebih mudah jika kegiatan rasuah tidak berlaku.

Beliau menyifatkan amalan rasuah seperti "api dalam sekam" yang akan memberi ancaman dan mendatangkan kesan negatif kepada negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain