suria

Kedah Keluar 'Kod Pakaian' Model Papan Tanda Iklan

ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar diselar setelah mengikut jejak Kelantan dalam melaksanakan ketetapan yang memerlukan model bukan Islam berpakaian sopan pada papan tanda iklan.

Pengerusi MCA Negeri Datuk Chong Itt Chew menegaskan ketetapan tersebut akan menjejaskan penduduk bukan Islam di negeri ini dengan berkata: " Majlis sepatutnya berunding dengan penduduk berbilang kaum di negeri ini sebelum membuat keputusan."

Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad telah memberi amaran kepada pengendali papan iklan dan pengiklan bahawa mereka mesti mematuhi perintah yang memerlukan model wanita Islam pada papan tanda memakai tudung dan model bukan Islam berpakaian sopan.

Sebuah akhbar memetik beliau sebagai berkata bahawa orang-orang yang ingkar terhadap perintah itu akan didenda RM300 dan papan tanda mereka akan diturunkan.

Mat Noh berkata majlis akan bertindak tegas terhadap orang-orang yang tidak memelihara kesopanan apabila memaparkan iklan luaran yang besar di kawasan di bawah bidang kuasanya.

Chong berkata majlis perlu merangka garis panduan yang betul untuk memastikan pengendali papan iklan dan pengiklan jelas mengenai ketetapan itu.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata pihak majlis menghina wanita bukan Islam dengan menggunakan perkataan "berpakaian sopan".

"Kesopanan adalah subjektif. Saya pasti wanita bukan Islam tidak mahu mendedahkan diri mereka di khalayak ramai.

"Bagaimana anda menggambarkan pakaian yang sopan? Adakah majlis menganggap seluar pendek dan pakaian tanpa lengan sebagai tidak sopan?" tanya beliau.

Artikel Lain