suria

Kebakaran Di MRSM Kuala Kubu Baru Tidak Jejaskan Pelajaran Pelajar

SEMENYIH: Kebakaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Baru, Selangor malam Isnin hanya melibatkan tingkat tiga bangunan blok asrama putera (lelaki).

Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh berkata ketika kejadian pada kira-kira 9.30 malam asrama itu kosong kerana pelajar keluar untuk mengikuti latihan tambahan.

"Kebakaran itu melibatkan 10 bilik iaitu sebahagian asrama yang terbakar... cuma tingkat atas satu blok yang terbakar. Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

"Keadaan adalah terkawal dan pihak bomba kini sedang menyiasat punca dan jumlah kerugian," katanya selepas majlis Salam Aidilfitri Mara di Kolej Kemahiran Tinggi Mara Beranang dekat sini Selasa.

Kata beliau pihaknya sedang membuat perancangan untuk memindahkan 430 pelajar terlibat ke kem PLKN berhampiran.

Katanya, malam Isnin pelajar terbabit tidur di surau dan setakat ini kejadian itu tidak menjejaskan pelajaran pelajar terbabit.

"Walaupun pelajar berkenaan ada ujian tapi tiada masalah besar untuk mereka meneruskan pelajaran," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain