suria

Isu Dana Suara Inisiatif: Wisma Putra Mahu Penjelasan Duta Jerman

KUALA LUMPUR: Wisma Putra akan memanggil Duta Besar Jerman ke Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung penyaluran dana kepada Suara Inisiatif Sdn Bhd, syarikat yang dikaitkan dengan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia merasa kurang senang dengan tindakan Kedutaan Jerman itu menyalurkan dana kepada NGO yang diketahui mempunyai agenda politik tertentu.

"Tindakan Kedutaan Jerman ini boleh disalahtafsir sebagai mencampuri urusan dalaman sebuah negara berdaulat," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Semalam, Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Guenter Georg Gruber mengaku kedutaan itu menyalurkan dana kepada syarikat berkenaan bagi membiayai inisiatif-inisiatif projek spesifik.

Anifah berkata Malaysia juga amat kecewa dengan penglibatan Kedutaan Jerman dalam aktiviti yang menunjukkan kecenderungan mereka terhadap sesetengah isu yang mempunyai implikasi ke atas situasi domestik Malaysia kerana kedua-dua negara itu adalah rakan dua hala penting dan mempunyai hubungan mesra serta kerjasama erat dalam pelbagai bidang.

"Kedutaan-kedutaan asing seharusnya peka terhadap sensitiviti di negara tuan rumah dan bagaimana hubungan yang baik dapat dijalin dan dikekalkan," katanya.

Sementara itu, siasatan awal Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati wujud transaksi dana antara Suara Inisiatif, yang didaftar di bawah Akta Syarikat 1965 dan Suaram.

SSM turut dikritik beberapa NGO atas dakwaan gagal bertindak terhadap Suaram, yang antara lain mengaku menerima dana dari negara-negara asing berikutan laporan bahawa Suaram bukan sebuah NGO tetapi sebuah syarikat, iaitu Suara Inisiatif Sdn Bhd. - BERNAMA

Artikel Lain