suria

119 Anggota Polis Bertugas Malam Ambang Merdeka Selangor - Tun Hisan

SHAH ALAM: Seramai 119 anggota polis bertugas pada malam sambutan ambang merdeka peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan di sini Khamis lepas, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Ia sebagai menjawab dakwaan seorang exco kerajaan Selangor bahawa polis tidak profesional kerana tidak bertugas mengawal keselamatan pada majlis anjuran kerajaan pakatan pembangkang itu.

"Sila semak fakta sebelum membuat kenyataan dan jangan membuat tuduhan melulu. Saya mengarahkan 119 anggota polis bertugas termasuk 86 yang beruniform bagi mengawal keselamatan dan trafik.

"Malah, saya yang meluluskan permit bunga api untuk sambutan itu. Jadi bagaimana timbul dakwaan polis tidak profesional dan tidak bekerjasama dengan kerajaan Selangor," katanya kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Rabu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin adalah antara tetamu yang hadir.

Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata, balai polis bergerak turut ditempatkan di lokasi sambutan pada malam berkenaan bagi kemudahan orang ramai.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, tiada sebarang kejadian jenayah pada malam sambutan itu.

"Kami tidak ada masalah dengan kerajaan Selangor, kami bukan polis BN (Barisan Nasional) atau polis PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi kami Polis Diraja Malaysia (PDRM)," tegasnya.

Tun Hisan menyifatkan perbuatan mengeluarkan kenyataan tanpa pengesahan sebagai tidak beretika dan berniat menjatuhkan maruah PDRM.

Dakwaan exco terbabit dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris dan sebuah portal berita. - BERNAMA

Artikel Lain