suria

Tema 'Janji Ditepati' Cogan Kata Positif - Tsu Koon

KUALA LUMPUR: Tema sambutan kemerdekaan tahun ini iaitu 'Janji Ditepati' bukan sahaja merujuk kepada sejarah tetapi komitmen pada masa depan untuk menepati janji setiap masa yang dibuat bukan sahaja antara pemimpin dengan rakyat tetapi juga hubungan sesama manusia.

Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata cogan kata itu bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia telah, sedang dan akan terus diamalkan oleh pemimpin negara.

"Kita mesti ada integriti untuk menepati janji kita, ini pada saya satu cogan kata yang positif bukan cuba hendak meuar-uarkan satu parti tetapi prinsip untuk semua, janji mesti ditepati," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Hari Raya Gerakan di Menara PGRM di sini, Ahad.

Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata justeru, beliau tidak faham mengapa pihak pembangkang begitu sensitif dan mempertikaikan tema kemerdekaan negara ke-55 itu.

"Kalau mereka kata janji ditepati itu komitmen mereka apa isunya, mungkin mereka tahu mereka tidak boleh tepati janji sebab itu takut dengan cogan kata itu. "Tema itu bersifat menyeluruh bukan sahaja untuk sejarah, pemimpin tetapi untuk masa depan negara," katanya.

Koh berkata setelah negara mencapai kemerdekaan yang ke-55 tahun, rakyat perlu mengingatkan diri sendiri tentang lima prinsip Rukun Negara serta mempertahankan institusi demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan pelabagai tradisi yang terdapat di negara ini.

"Walaupun kita buat transformasi dari segi minda, kaedah menggunakan sains dan teknologi, inovasi, itu semua penting tapi mestilah dilaksanakan dalam satu rangka kerja institusi dan tradisi terus dikekalkan sebagai asas kenegaraan, sebagai asas untuk keamanan, keharmonian dan kestabilan," katanya.

Mengenai tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, M. Manoharan yang membandingkan Jalur Gemilang dengan bendera Amerika Syarikat, beliau berkata ia merupakan satu pandangan yang tidak bernas dan tidak menghormati negara.

Koh berkata bendera Malaysia melambangkan komitmen negara terhadap konsep persekutuan, raja berperlembagaan dan perpaduan yang amat penting.

"Saya tidak setuju langsung (dengan kenyataan Manoharan), ada beberapa negara yang mempunyai bendera yang hampir sama seperti Indonesia dan Poland, memang ada persamaan kerana kita cuma ada beberapa warna sahaja.

"Kita tidak setuju dengan tindakan keras dan kasar ini, kalau tidak hormat kepada bendera Malaysia maka asas kenegaraan kita akan terhakis, hormat-menghormati antara satu sama lain, kesopanan dan kesusilaan sebagai prinsip Rukun Negara mestilah sentiasa dipegang dengan teguh dan diamalkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain