suria

Azizan Mungkin Adakan Mesyuarat Exco Di Hospital

GEORGE TOWN: Terdapat kemungkinan bahawa Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan mempengerusikan mesyuarat exco negeri akan datang di sebuah hospital swasta, tempat beliau diwadkan.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Azizan akan mengadakan mesyuarat itu dalam tempoh terdekat.

"Ia boleh diadakan di hospital berdasarkan nasihat doktor beliau," katanya.

Mustafa mengesahkan bahawa Azizan dimasukkan ke wad di Pusat Perubatan Kedah kerana keletihan ekoran jadual padat sepanjang Ramadan.

Mustafa berkata, beliau telah menziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu pada malam Khamis.

Doktor menasihatkan Azizan supaya mendapatkan rehat yang cukup tetapi beliau dibenarkan untuk mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Baru-baru ini timbul khabar angin bahawa Azizan menghidap penyakit jantung.

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang terkejut dengan kenyataan Mustafa yang menyatakan mesyuarat exco akan diadakan di sebuah hospital.

"Ini menunjukkan wujud permainan politik pada tahap tertinggi di bawah kerajaan PAS Kedah sehingga Azizan tidak boleh melantik seorang pemimpin untuk mengambil alih tugasnya buat sementara waktu sehingga beliau pulih.

"Ia amat pelik. Azizan perlu berehat. Bagaimana PAS boleh membenarkan beliau mempengerusikan mesyuarat di hospital?

"Seseorang sepatutnya berehat apabila dimasukkan ke hospital. Mungkin terdapat persetujuan daripada doktor tetapi bagi kepentingan semua pihak, Menteri Besar hanya perlu berehat supaya dapat pulih lebih cepat," katanya.

Artikel Lain