suria

13,000 Peserta Semarak Sambutan Merdeka

KUALA LUMPUR: Perbarisan sempena ulang tahun ke-55 kemerdekaan negara peringkat nasional di Dataran Merdeka pada Jumaat meriah dengan penyertaan 13,000 peserta pelbagai lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya generasi muda, yang melambangkan perpaduan negara yang kukuh dan sejahtera.

Bertemakan '1Malaysia Janji Ditepati', perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tepat pada pukul 8 pagi dengan disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat sebelum lagu 'Negaraku' dimainkan oleh Pancaragam Pusat Regimen Askar Melayu Diraja.

Pada masa yang sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Tuanku Abdul Halim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama terdiri empat pegawai dan 103 anggota Satu Rejimen Askar Melayu Diraja dan diikuti dengan laungan "Daulat Tuanku" sebanyak tiga kali sebelum diikuti dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang diiringi lagu 'Negaraku' dan tembakan meriam 14 das.

Sambutan kemuncak kemerdekaan negara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh 55 peserta yang mewakili pelajar dan guru, pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi kerajaan dan badan berkanun serta orang kurang upaya dengan berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik dengan diketuai oleh pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati Gombak Azrai Abdul Aziz.

Ia disusuli dengan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali diikuti laungan 'Janji Ditepati' sebanyak tiga kali.

Acara diteruskan dengan persembahan segmen pertama mengenai Rukun Negara yang disampaikan melalui bicara berirama dengan penuh berwarna warni oleh para pelajar.

Diikuti dengan perarakan masuk perbarisan yang dimulakan dengan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia dan dikuti dengan kontinjen membawa Jalur Gemilang dan kontinjen membawa bendera kesemua 13 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Buat julung kali perbarisan kontinjen agensi kerajaan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa dengan diiringi oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Kontinjen agensi kerajaan turut dianggotai oleh pemimpin tertinggi setiap kementerian itu iaitu ketua setiausaha kementerian masing-masing selaras dengan tema perayaan Hari Kemerdekaan tahun ini "55 Tahun Merdeka Janji Ditepati".

Perarakan seterusnya diikuti kontinjen badan beruniform generasi muda di bawah segmen 'Pemimpin Masa Hadapan' dengan mempersembahkan tarian IM4U yang mendapat tepukan gemuruh daripada tetamu kenamaan yang turut sama menyanyikan lagu tema berkenaan.

Termasuk dalam perarakan perarakan ialah kontinjen pengangkutan awam bandar terdiri daripada empat kereta peronda Suruhanjaya Pengangkutan Aawam Darat (SPAD), 55 buah teksi rakyat 1Malaysia dan dua bas RapidKL yang menjadi simbolik kepada transformasi pengangkutan awam di negara ini.

Di bawah segmen keempat "Gegar Merdeka" yang memperlihat kontinjen pasukan keselamatan negara yang turut dianggotai oleh anggota wanitanya serta disertai oleh kontinjen perwira veteran dengan menaiki kereta-kereta antik yang digunakan oleh pemimpin negara dalam menuntut kemerdekaan pada tahun 1950an.

Selain itu, ia juga mempamerkan lima helikopter yang merupakan aset ketenteraan dan keselamatan awam yang diiringi oleh pasukan pancaragam masing-masing iaitu TLDM, PDRM, ATM, TUDM dan APMM.

Ruang udara Dataran Merdeka turut digegarkan dengan pertunjukkan formasi udara oleh pasukan keselamatan.

Perarakan diakhiri dengan segmen kelima "Bangga Menjadi Rakyat Malaysia" yang dimulakan dengan persembahan oleh generasi muda dengan pergerakan cergas dan bertenaga dengan diiringi lagu 'Drumline' dan medley lagu-lagu patriotik Nadi Rakyat, IM4U, Janji Ditepati, Tanggal 31, 1Malaysia dan diakhiri dengan Jalur Gemilang.

Perbarisan hampir dua jam yang berakhir kira-kira 10 pagi itu turut disaksikan ribuan rakyat Malaysia termasuk pelancong, yang mula membanjiri Dataran Merdeka seawal 6.30 pagi selain jutaan lagi menonton menerusi siaran langsung di RTM1.

Selepas keberangkatan pulang Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah, Perdana Menteri dengan diiringi timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, yang merupakan pengerusi jawatankuasa sambutan Hari Kemerdekaan dan isteri masing-masing turun ke padang untuk bermesra dengan para peserta dan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Di SEREMBAN, sambutan peringkat negeri diadakan di Padang Majlis Perbandaran Seremban dengan penyertaan lebih 7,000 peserta daripada 100 kontinjen mewakili pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pasukan keselamatan, institut pengajian tinggi dan sekolah serta kontinjen kenderaan tentera dan bomba.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir turut berangkat dan menerima tabik hormat daripada para kontinjen di pentas khas di Jalan Yamtuan, berhadapan bangunan Majlis Perbandaran Seremban.

Di MELAKA, lebih 6,000 peserta daripada 128 kontinjen menyertai perbarisan yang diadakan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta barisan Exco kerajaan negeri.

Di KANGAR, sambutan peringkat negeri diadakan di Dataran Merdeka dengan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut berangkat menyaksikan perarakan yang membabitkan lebih 3,000 peserta daripada 97 kontinjen itu.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah rakyat perlu berjihad mengukuhkan negara dan memastikan tiada "gunting dalam liputan.", dan untuk menikmati kemerdekaan yang lebih bermakna, rakyat Malaysia perlu mengisi kemerdekaan dengan kegiatan yang positif untuk diri sendiri dan negara.

Di ALOR SETAR, sambutan kemerdekaan peringkat negeri berlangsung di hadapan Kompleks Pekan Rabu disertai kira-kira 2,500 orang mewakili 79 kontinjen bermula pukul 8.30 pagi dan berakhir 10 pagi.

Antara peserta ialah pelajar sekolah, jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan sukarela beruniform, bukan kerajaan (NGO), polis dan tentera.

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah serta ahli jemaah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz turut hadir.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak hadir pada sambutan itu atas sebab kesihatan dan diwakili oleh anggota Exco, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.

Lebih 3,000 orang hadir menyaksikan sambutan yang dimeriahkan dengan kawat senyap oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak, persembahan pancangan pelajar Sekolah Menangah Sultanah Asma, Alor Setar pasukan pancaragam polis serta Angkatan Tentera.

Di GEORGE TOWN, kira-kira 7,000 orang membanjiri kawasan Padang Kota Lama sejak awal pagi untuk sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat negeri.

Bertemakan "Sebangsa, Senegera, Sejiwa", seramai 107 kontinjen menyertai perarakan itu yang terdiri daripada 5,799 penjawat awam, swasta dan badan bukan kerajaan.

Sambutan merdeka yang sederhana tetapi meriah itu turut disertai dengan perarakan 298 kenderaan termasuk kereta, basikal, motosikal serta persembahan gurindam dan pertunjukan kebudayaan yang berwarna-warni.

Majlis perarakan itu dimeriahkan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew Gek Cheng serta barisan exco negeri.

Kira-kira 1,000 orang tempatan dan pelancong asing turut sama memeriahkan sambutan dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Sementara itu di KUANTAN, 8,000 peserta daripada 80 kontinjen meliputi jabatan kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan dan pelajar sekolah menyertai perarakan tersebut dari Jalan Mahkota sehingga ke padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Di KOTA KINABALU, hampir 20,000 orang membanjiri Dataran Bandaraya Kota Kinabalu bagi menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan tahun ini.

Sambutan peringkat negeri Sabah itu dimulakan dengan perarakan 170 kontinjen yang disertai pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, swasta, pasukan beruniform, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah serta badan bukan kerajan.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Faridah Tussin. - BERNAMA

Artikel Lain