suria

Tema 'Janji Ditepati' Berlandaskan Tuntutan Islam, Bukan Retorik Politik - PM

KUALA TERENGGANU: Tema Hari Kebangsaan tahun ini 'Janji Ditepati' sama sekali tidak merupakan retorik politik sebaliknya ia berlandaskan kepada tuntutan agama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tema itu sebagai bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) berpegang kepada al-Quran dan Sunnah dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat keseluruhannya.

"Tema ini berpaksikan kepada rukun agama. Kita (BN) berjuang untuk tepati janji kepada rakyat. Kita akan tepati janji kita untuk beri kepercayaan pada rakyat. Kita mahu membuktikan negara kita adalah negara Islam contoh," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Padang Nenas di sini, Khamis yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Najib berkata, dalam Islam jika setiap janji itu tidak dikotakan ia boleh dianggap sebagai munafik.

"Jadi kita sebagai sebuah kerajaan kita janji akan tepati janji itu. Kita bersedia ditolak rakyat kalau janji itu tidak kita tunaikan...kita sesama manusia pun perlu tunaikan janji, nak berniaga pun mahu berurusan dengan yang menepati janji dan kerajaan pun kita mahukan kerajaan yang menepati janji".

Beliau berkata, disebabkan itu tidak perlu mana-mana pihak untuk takut kepada tema Hari Kebangsaan itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, rakyat perlu bersyukur dengan nikmat berada dalam sebuah negara yang makmur seperti Malaysia.

"Dalam bulan puasa ini kita dapat menjalani ibadah dengan sempurna tidak seperti di negara-negara lain.

"BN telah berjaya membela rakyat melalui pelbagai program dan berharap rakyat akan terus memberikan sokongan kepada BN," katanya.

Najib kemudiannya menyampaikan sumbangan ihsan Ramadan kepada anak yatim, orang kurang upaya, warga emas dan ibu tunggal.

Beliau selepas itu menunaikan solat Maghrib di Masjid Kampung Padang Nenas dan menunaikan solat Isyak dan solat sunat Tarawih di Masjid Wakaf Tembesu sebelum berlepas pulang ke ibu negara. - BERNAMA

Artikel Lain