suria

Cubaan Seludup Keluar 150 Tong Gas Gagal - APMM

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 150 tong gas memasak dan menahan tiga orang dalam dua kes di perairan daerah ini pada Isnin.

Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Kapten Maritim Wan Mohd Affandi Wan Ahmad berkata, dalam kes pertama pukul 2.20 petang, sebanyak 100 tong gas dirampas dari sebuah bot yang diperiksa kira-kira 1.8 batu nautika dari Jeti Batu-Batu.

Bot itu dipercayai dalam perjalanan ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik dan pemeriksaan mendapati juragan bot ialah rakyat Malaysia berusia 36 tahun, manakala awak-awaknya yang berusia 16 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, katanya dalam kenyataan, di sini Rabu.

Kes kedua pula berlaku pukul 2.50 petang, kira-kira dua batu nautika dari Jeti Batu-Batu, membabitkan rampasan 50 tong gas selepas pemeriksaan mendapati lelaki yang mengangkutnya tidak mempunyai dokumen pemilikan yang sah.

Juragan bot iaitu lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun itu turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.

Wan Affandi berkata, APMM Tawau akan mempertingkat usaha membanteras kegiatan penyeludupan keluar barangan kawalan ke negara jiran agar bekalan tempatan tidak terjejas.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan berkenaan agar menghubungi talian 089-752115 yang beroperasi secara 24 jam untuk membuat laporan. -BERNAMA

Artikel Lain