suria

77 Syarikat Disenarai Hitam Bank Negara

PETALING JAYA: Kira-kira 77 syarikat yang terlibat dalam transaksi tanpa kebenaran dan salah di sisi undang-undang telah disenaraihitamkan oleh Bank Negara dengan RM100 juta dilaporkan lesap akibat jenayah komersial.

Difahamkan senarai syarikat tersebut tidak menyeluruh dan hanya berfungsi sebagai panduan untuk membantu orang ramai supaya lebih berjaga-jaga.

Senarai yang disiarkan dalam laman web (www.bnm.gov.my) merangkumi syarikat yang beroperasi tanpa lesen (38), terlibat dalam pelaburan emas (22) dan perdagangan mata wang asing atau lebih dikenali sebagai forex (17).

"Senarai itu akan dikemaskini setiap masa," kata Bank Negara dalam satu kenyataan.

Orang ramai dinasihatkan supaya waspada dengan syarikat dan individu yang menyalahgunakan surat perakuan dari Bank Negara untuk mendapatkan pelaburan.

"Surat tersebut bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada Bank Negara Malaysia berhubung dengan perniagaan terjadual," katanya.

Di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan, sesebuah syarikat yang menjalankan sama ada aktiviti pemajakan, pemfaktoran, kewangan pembangunan atau kredit bangunan hanya diperlukan untuk mendapatkan perakuan bertulis daripada Bank Negara Malaysia.

Surat itu dikeluarkan untuk tujuan perangkaan semata-mata dan akan ditarik balik sekiranya sesebuah institusi terjadual tidak, atau berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, kata Bank Negara.

Bank Negara turut mengingatkan sesiapa yang berurusan dengan syarikat haram itu tidak dilindungi di bawah undang-undang tersebut.

"Orang ramai yang terlibat dengan aktiviti kewangan secara haram juga boleh didakwa kerana bersubahat dengan syarikat tersebut," katanya.

Bank Negara menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung urus niaga atau aktiviti secara haram dan mencurigakan itu supaya menghubungi talian 1-300-88-5465 atau emel [email protected].

Orang ramai perlu berhubung segera dengan Bank Negara sekiranya mereka mengesyaki penyalahgunaan lesen Bank Negara, nama dan jawatan pegawai kanannya dalam perkhidmatan kewangan atau perniagaan forex.

Menurut sumber Bank Negara, orang ramai perlu menghubungi Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk mengesahkan status syarikat yang menawarkan pelaburan kepada mereka.

Artikel Lain