SEORANG duda dibelasah hingga maut oleh sekumpulan penduduk kampung gara-gara terdapat dakwaan dia mengamalkan ilmu hitam.Lebih menyayat hati apabila mayatnya turut dibakar demi menghilangkan bukti pembunuhan. Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Cuttack, Odisha, India.Menurut polis, mangsa dikenali sebagai Tikima Behera dipercayai diseret keluar dari rumahnya di kampung Talamunduli pada 10 Mei lalu sebelum dipukul beramai-ramai sehingga meninggal dunia.Tambahnya, mayat mangsa kemudian dibakar dipercayai bagi menghapuskan bukti jenayah yang dilakukan.Kejadian tersebut hanya terbongkar selepas bapa mangsa, Sweta Behera membuat laporan polis pada Isnin.Dalam laporannya, dia mendakwa anaknya menjadi sasaran penduduk kampung yang menuduh mangsa mengamalkan ilmu hitam.Sweta turut memaklumkan bahawa anaknya tinggal bersama abang dan kakak iparnya di kampung berkenaan selepas ditinggalkan isteri sejak tujuh tahun lalu.Ketua Polis Cuttack (Luar Bandar), Vinit Agrawal berkata, setakat ini seramai 25 lelaki sudah ditahan bagi membantu siasatan.Katanya, tiga pasukan khas turut ditubuhkan untuk menyiasat kes berkenaan."Salah seorang suspek yang ditahan turut mengaku terlibat dalam pembunuhan itu ketika disoal siasat,” katanya pada Rabu.Menurut beliau, polis turut menemukan semula sebahagian mayat dan tulang mangsa yang sudah dibakar. -Agensi