suria

Wanita Warga Ethopia Didakwa Edar 90kg Dadah Jenis Daun Khat

SEPANG: Seorang wanita warganegara Ethopia pada Jumaat didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan mengedar 90 kilogram dadah jenis Cathinone atau dikenali sebagai daun khat.

Muna Muhammad Ibraheem, 36, seorang suri rumah, dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat Unit Operasi Bahagian Import dan Zon Bebas, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Terminal Utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 tengah hari, 2 Ogos lalu.

Ibu kepada dua anak itu yang bermastautin tetap di Kanada didakwa mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Tiada pengakuan direkodkan.

Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Majistret, Zulhelmy Hassan menetapkan 16 Okt untuk sebutan kes itu sementara menunggu penyediaan laporan kimia.

Muna, yang berada di negara ini selama seminggu, dihantar ke Penjara Kajang sementara menunggu tarikh sebutan kesnya itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Afidah Nor Ariffin manakala Muna diwakili peguam Zaflee Pakwanteh dan Emrad Juandi. Zaflee berkata kes Muna merupakan kes kedua di negara ini melibatkan daun khat. - BERNAMA

Artikel Lain