suria

AirAsia X Akan Pajak Enam Airbus A330-300

KUALA LUMPUR: AirAsia X, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh sekutu AirAsia Group, memeterai surat hasrat dengan International Lease Finance Corporation (ILFC) untuk memajak enam pesawat Airbus A330-300.

Syarikat itu akan memajak enam pesawat bagi tempoh pajakan 10 tahun, kata AirAsia X dalam satu kenyataan, Khamis.

"Enam pesawat ini, bersama dengan tempahan serahan sedia ada daripada Airbus, akan menyaksikan pertumbuhan AirAsia X, dengan sejumlah tujuh serahan, setiap satu pada 2013 dan 2014, dengan sasaran menjadi peneraju pasaran dominan dalam segmen jarak jauh tambang rendah," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Azran Osman-Rani.

Beliau berkata AirAsia X berhasrat untuk memanfaatkan kapasiti tambahan itu untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran teras yang telah dikenal pasti, termasuk Australia, China, Taiwan, Korea, dan Jepun.

"Komitmen kami untuk mempunyai kumpulan pesawat yang distandardkan, baharu dan cekap dari segi bahan api mengoptimumkan sumber kami dan menyediakan nilai yang lebih baik bagi pelanggan kami," katanya.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Pengarah AirAsia X Tan Sri Tony Fernandes berkata ini akan melengkapkan lagi visi jangka panjang AirAsia Group untuk mengembangkan operasinya di pasaran-pasaran utama di Asia.

Ia juga akan mengukuhkan hubungan antara rangkaian tambang rendah jarak dekat AirAsia dan jarak jauh AirAsia X bagi kemudahan dan keselesaan penumpang.

"Ini harapnya akan memenuhi janji kami "Now Everyone Can Fly" (Kini semua orang boleh terbang)," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain