suria

Peniaga Alat Ganti Kenderaan Import Terpakai Didenda Berniaga Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga alat ganti kenderaan import terpakai didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, Selasa, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Majistret Parvin Hameedah Natchiar memerintahkan Yap Guan Foo, 32, menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.

Yap dari Taman Seri Kuching, di sini, didakwa menjalankan perniagaan itu tanpa memiliki lesen yang sah di YX Auto Parts Tradings, Jalan Kepong, Sentul, pada 4.30 petang 15 Jun lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 9 Akta Perniagaan Barang Sekendhend 1946 (Akta 189) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah yang sama, seorang pekerja lori sampah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengugut seorang tukang cuci, minggu lepas dengan menggunakan sebilah pisau kecil.

Roslan Abdullah, 43, didakwa mengugut S.Parvatri, 41, menggunakan sebilah pisau kecil sehingga mendatangkan ketakutan terhadap mangsa di No.22C, Lorong Syed Putra Kiri, Brickfields di sini pada 6.30 petang 20 Jun lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Parvin Hameedah menetapkan 9 Julai untuk sebutan kes.

Kedua-dua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping. - BERNAMA

Artikel Lain