suria

Program 'Pemudah Challenge: Back To School' Harus Diperluas Ke Seluruh Negara - Mohd Sidek

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mencadangkan program inovasi 'Pemudah Challenge: Back to School' diperluas ke seluruh negara dalam masa terdekat ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) berkata menerusi program itu, pelajar-pelajar sekolah akan berani bersuara dan menyalurkan pandangan dalam penambahaikan penyampaian kerajaan.

"Bak kata pepatah Melayu, melentur buluh biar dari rebungnya. Walaupun mungkin pada hari ini, hanya setakat dalam hal yang berkaitan dengan sekolah mereka, peluang ini akan menggalakkan murid-murid sekolah berfikir secara lebih kreatif dan inovatif.

"Harapan saya seagai seorang bapa dan pemimpin, semua murid akan terbiasa dengan budaya inovasi dan kreatif di mana mereka semua sentiasa peka dan berani bersuara, menyumbang idea-idea bagi memantapkan sistem pelajaran negara," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah kepada 24 pemenang "Pemudah Challenge: Back to School" di sini, Selasa.

Hadir sama Pengerusi Bersama Pemudah Tan Sri Yong Poh Kon dan Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Pertandingan itu dilaksana secara perintis di dua sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara Jalan Beringin, Kuala Lumpur dan Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Taman Shamelin, Kuala Lumpur.

Pada kali ini, sebanyak 198 penyertaan diterima dan 24 idea bernas telah dipilih untuk memenangi program 'Pemudah Challenge: Back to School' musim ini. Hadiah berupa baucar buku RM100 akan diberikan kepada setiap cadangan yang berjaya.

Murid Sekolah Kebangsaan Seri Bintang Selatan, Nor Nabilah Rosli, 11, mencadangkan penggunaan kad Touch 'n Go untuk membeli makanan dan minuman di kantin sekolah supaya dapat menjimat masa dan mengurangkan masalah kehilangan wang.

"Waktu rehat di sekolah singkat tetapi saya terpaksa beratur lama untuk membeli makanan. Selain itu, saya pernah mengalami kehilangan wang ketika bertolak-tolak untuk membeli makanan. Maka, tercetus idea guna kad Touch 'n Go," katanya.

Bagi Renee Chua Huey Yee, pembinaan sebuah taman mini sains penting untuk menanam minat pelajar sekolah mempelajari subjek yang itu.

"Idea untuk mewujudkan taman sains ini akan menyediakan peluang kepada pelajar-pelajar untuk meneroka dan mendalami subjek sains," katanya.

Selain itu, murid Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Rebecca Suzanne Mathews, 10, mencadangkan satu portal khas dibangunkan untuk membantu murid, guru dan ibu bapa berkomunikasi, membincangkan kerja rumah dan latihan.

"Dengan portal ini, ia merupakan cara pembelajaran yang efektif. Selain itu ia dapat menjimatkan masa pelajar dan guru," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud mengalu-alukan program "Pemudah Challenge: Back to School".

"Kami memerlukan idea daripada pelajar sekolah dalam menghala ke arah masyarakat kreatif dan inovatif," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain