suria

Warga Nigeria Dipenjara Enam Tahun, 15 Sebatan Kerana Miliki Dadah

PETALING JAYA: Seorang warga Nigeria dihukum penjara enam tahun dan 15 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki 138.8 gram dadah jenis Kanabis di kediamannya.

Hakim Suraiya Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman itu terhadap Emenike Joseph, 31, selepas mendapati lelaki itu yang tidak diwakili peguam, gagal menimbulkan keraguan munasabah ketika dipanggil membela diri.

Suraiya memerintahkan Emenike Joseph, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 7 Sept 2010.

Emenike Joseph didakwa memilik dadah itu di No.E-03-05, Blok E, Pangsapuri Seri Pulai, Jln PH 4, Taman Puchong Hartamas, Puchong, pada 2.30 petang, 7 September 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama yang memperuntuk hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Ching Kian Chun mewakili pihak pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, seramai lima saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dan seorang saksi pembelaan iaitu Emenike Joseph. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain