suria

479,843 Pati Belum Melalui Proses Pemutihan Program 6P

KUALA LUMPUR: Seramai 479,843 atau 47.2 peratus Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) yang didaftar secara sah untuk tujuan bekerja di negara ini masih belum melalui proses pemutihan Program 6P, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop.

Beliau berkata proses pemutihan ini mula dilaksanakan pada 10 Okt tahun lepas bertujuan mendaftarkan PATI melalui Program 6P bagi membolehkan mereka bekerja secara sah di negara ini.

"Walaupun proses ini telah tamat 10 April lepas namun proses temuduga masih diteruskan bagi membolehkan majikan yang telah diberi tarikh temu janji untuk temuduga.

"Proses temuduga ini dijadualkan tamat pada penghujung bulan ini. Saya menyeru mereka yang masih belum melaksanakan proses pemutihan ini supaya bertindak segera," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang ingin tahu jumlah pekerja asing berjaya didaftarkan serta gagal didaftarkan di bawah program pemutihan pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau berkata sehingga 14 Jun ini, seramai 536,009 daripada 1,015,852 PATI yang bekerja dengan 100,233 majikan daripada pelbagai sektor perkilangan, perkhidmatan, pembinaan, peladangan dan pertanian telah menjalani proses pemutihan.

Sementara itu, sehingga kini seramai 287,364 PATI didaftarkan untuk dihantar pulang ke negara masing-masing manakala seramai 161,843 PATI telah dihantar pulang dan baki seramai 125,521 PATI sedang dalam proses untuk dihantar pulang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain