suria

BN Tidak Pernah Pilih Kaum Salur Bantuan - Muhyiddin

BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengamalkan dasar memilih kaum dalam usahanya untuk membasmi kemiskinan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata bantuan yang disalurkan kerajaan pimpinan BN adalah kepada semua kaum yang layak dan mereka yang memerlukan.

Katanya dakwaan dan tohmahan pembangkang kononnya BN hanya mementingkan kebajikan orang Melayu adalah satu pembohongan dan fitnah semata-mata kerana semua kaum di negara ini telah menikmati pelbagai jenis bantuan yang disediakan oleh kerajaan pusat.

"Kalau BN hanya untuk orang Melayu, hanya bantu orang Melayu sudah lama orang Melayu jadi jutawan. Di Pulau Pinang, masih lagi terdapat orang Melayu yang memerlukan bantuan, begitu juga kaum Cina dan India. "Kita (BN) bela semua kaum yang ada. Dasar kerajaan untuk membantu bumiputera bukan kerana dia Melayu, tetapi kerana miskin. Begitu juga kaum lain," katanya semasa berucap di majlis semarak kasih rakyat di Taman Tanjung Aman, di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata semua kaum mempunyai hak yang sama dalam menikmati setiap bantuan termasuk bantuan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.

"Kita juga membantu sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan sekolah Cina...semua orang berhak mendapat pendidikan, sebagai Menteri Pelajaran, saya pastikan semua rakyat di negara ini mendapat pelajaran sewajarnya," kata beliau.

Katanya kerajaan tidak akan berhenti untuk menyalurkan bantuan kepada setiap rakyatnya walaupun sesebuah negeri itu terletak di bawah pimpinan pakatan pembangkang.

"Pembangkang hanya minat mempolitikkan isu sahaja dan tidak berbuat apa-apa untuk rakyat, mereka hanya auta sahaja," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kawasan Bagan untuk pembangunan di kawasan itu.

Lebih 40,000 orang membanjiri majlis anjuran BN negeri di kawasan yang diwakili oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain