suria

400 Lagi Tempat Matrikulasi Pelajar India Di AIMST

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata 400 lagi tempat untuk mengikuti program matrikulasi akan disediakan bagi pelajar kaum India di Asian Institute of Medicine, Science and Technology (AIMST) bagi sesi 2012/2013.

Katanya MIC dan AIMST akan mencari penaja untuk membiayai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang layak mengikuti program itu.

AIMST ditubuhkan Maju Institute of Educational Development (MIED), cawangan pendidikan MIC.

"Empat ratus tempat ini ditawarkan untuk mengikuti pengajian di sebuah universiti swasta (AIMST), manakala 1,500 lagi ditawarkan di kolej kerajaan, menjadikan 1,900 semuanya. "Bagaimanapun, 400 pelajar yang layak melanjutkan pengajian di AIMST tidak perlu bimbang tentang pembiayaan kerana MIC dan para pegawai AIMST sedang mencari penaja atau dana untuk membiayai program matrikulusi yang mereka ikuti," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata program matrikulasi di AIMST mempunyai nilai yang setara dengan program matrikulasi yang ditawarkan kolej kerajaan.

Kementerian Pelajaran menerima 3,000 permohonan untuk mengikuti program matrikulasi bagi sesi 2012-2013, tetapi hanya 1,500 diluluskan.

Setakat ini, 750 pelajar India ditawarkan mengikuti program itu di kolej kerajaan dan baki kekosongannya akan diisi bulan ini, kata Palanivel.

Beliau berkata apabila semua tempat diisi, Kementerian Pelajaran akan menghantar senarai nama mereka yang terpilih kepada MIC untuk tujuan rekod.

Pada perhimpunan agung MIC tahun lepas, Palanivel meminta kerajaan memberi 1,000 tempat tambahan untuk pelajar India mengikuti program itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain