suria

MB Selangor Dicabar Dedah Kerugian Unisel

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi dicabar supaya segera mengumumkan kedudukan kewangan Universiti Selangor (Unisel) dan menjelaskan tujuan utama mereka untuk mencairkan aset bernilai RM30 juta.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, corak pentadbiran kerajaan negeri menimbulkan rasa curiga dan ditambah langkah tersebut dilihat merugikan rakyat negeri itu.

“Ini cara politik kerajaan negeri yang cuba menangguk di air keruh, apabila Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kata tangguh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Unisel dan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis), baru-baru ini.

“Sebagai reaksi, mereka kata akan cairkan aset bernilai RM30 juta untuk tampung pendidikan pelajar, tapi kita mahu mereka jawab adakah mereka betul-betul mahu tampung pendidikan atau untuk tampung kos kerugian yang ditanggung Unisel,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak layak melabelkan diri sebagai juara dalam membela pendidikan rakyat negeri itu disebabkan beberapa isu yang telah berlaku sebelum ini.

“Mereka sanggup runtuhkan asrama Yayasan Selangor demi kepentingan untuk jual tanah Yayasan Selangor di Kampung Pandan dan kini nasib pelajarnya seolah-olah tiada pembelaan.

“Tindakan mereka itu seperti menafikan hak dan peluang pendidikan yang selama ini diperjuangkan Yayasan Selangor terutama untuk anak-anak luar bandar, mereka juga berdosa dengan rakyat Selangor kerana menolak penubuhan cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di negeri itu,” katanya.

Abdul Khalid pada Februari lalu berkata, kerajaan negeri bersedia mendedahkan kepada umum kedudukan kewangan semasa Yayasan Selangor dan Unisel.

Katanya, institusi milik kerajaan negeri iaitu Yayasan Selangor diaudit setiap tahun sejak pakatan pembangkang mengambil alih pentadbiran di negeri itu.

Sementara itu, mengulas mengenai desas-desus di laman blog dan twiter yang menggesa pemecatan Setiausaha Politik Abdul Khalid, Faekah Hussin, Noh berkata, kerajaan negeri Selangor tidak akan memecat kroni.

“Berdasarkan keadaan sebelum ini , Kerajaan Selangor tidak akan pecat kroni dia, kita boleh desak sahaja untuk pecat siapapun termasuk setiausaha politik Menteri Besar. Mereka juga tidak akan mengenakan sebarang tindakan terhadap kesalahan dilakukan kroni mereka,” katanya.

Artikel Lain