suria

Kabinet Setuju Buka Permohonan Jual Rumah PPR - Menteri Perumahan

SHAH ALAM: Kabinet telah bersetuju dengan cadangan untuk membuka permohonan bagi penjualan unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada golongan berpendapatan rendah khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi mengurangkan beban yang ditanggung Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menguruskan kediaman berkenaan.

"Kabinet pada Rabu meluluskan permintaan saya untuk menjual unit PPR kepada pemohon yang layak daripada membiarkan Pihak Berkuasa Tempatan menguruskannya.

"Pihak Berkuasa Tempatan mendapati sukar untuk mengurus PPR kerana banyak fi sewaan dan penyeliaan tidak dibayar pada masanya oleh penduduk," katanya kepada pemberita selepas melancarkan komponen ketiga pembangunan di i-City di sini Khamis.

Namun Chor berkata pemohon yang ingin membeli kediaman PPR harus mengikut syarat yang ditetapkan iaitu mempunyai pendapatan di bawah RM2,500 sebulan, telah berkahwin dan tidak mempunyai rumah lain serta pemastautin tetap di Selangor dan Kuala Lumpur.

Permohonan boleh dibuat menerusi sistem terbuka PBT berkaitan, katanya.

Beliau berkata harga PPR yang bakal dijual berharga RM35,000 seunit termasuk PPR Lembah Subang, Selangor yang bakal dibina kira-kira 1,500 buah unit. - BERNAMA

Artikel Lain