suria

Isu Mogok Pemandu Kontena Pelabuhan Klang Selesai - SAM

KUALA LUMPUR: Pertikaian antara pemandu lori kontena dengan pengendali depoh di Pelabuhan Klang telah selesai.

Ini berikutan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengangkutan Malaysia (AMH) yang mewakili pemandu-pemandu berkenaan dengan Persatuan Depoh Kontena Malaysia (MCDA).

Susulan itu, Persatuan Pengusaha-Pengusaha Perkapalan Malaysia (SAM) kini menganggap pertikaian yang mendorong kepada bantahan oleh beratus-ratus pemandu lori kontena di Pelabuhan Klang selama tiga hari mulai 2 Mei itu, sudah selesai.

Pengerusi SAM, Ooi Lean Hin, berkata perkara itu diselesaikan dengan damai dalam bentuk MoU yang ditandatangani oleh AMH dan MCDA pada 4 Mei.

"Penyelesaiannya pada masa akan datang hanyalah memastikan pengendali depoh membuat pelaburan yang perlu bagi prasarana, jentera, sumber manusia dan sistem kendalian, yang akan menghapuskan kesesakan yang dihadapi oleh semua pihak dalam rantaian logistik itu sekarang," katanya kepada Bernama.

Ooi berkata pengeksport dan pengimport akan juga meraih faedah daripada penambahbaikan yang dibuat untuk mengurangkan kos logistik hasil daripada kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi.

"Kami juga berharap kerajaan dan Lembaga Pelabuhan Klang akan mengambil langkah-langkah dan tindakan sewajarnya untuk memastikan kejadian malang itu, yang telahpun menunjukkan tanda-tanda menular ke kawasan-kawasan lain (di negara ini), tidak berulang," katanya.

Sebelum ini, seramai 500 pemandu lori kontena telah berkumpul berhampiran Pelabuhan Utara untuk membantah tentang surcaj pintu depoh yang dikenakan oleh pengendali depoh kontena dan perkhidmatan pengendali depoh yang lembap, yang telah menyebabkan kelewatan dan kesesakan, hingga ramai yang perlu menunggu selama dua hingga empat jam untuk mengambil dan menurunkan kontena.

Surcaj pintu depoh yang dikenakan sekarang ditetapkan pada RM12-RM15 bagi setiap kontena untuk sekali masuk.

"Kami memerlukan lebih banyak masa untuk meminta pengendali depoh beroperasi 24 jam sehari kerana banyak lagi kajian dan perbincangan perlu dilakukan," katanya sambil menambah bahawa beliau akan membawa perkara tersebut ke mesyuarat agung tahunan persatuan itu tidak lama lagi.

Ooi juga menjelaskan bahawa kenaikan terbaru surcaj pintu depoh itu bukanlah isu utama yang menyebabkan mogok itu, tetapi sebenarnya ialah masalah kendalian yang dihadapi saban hari oleh syarikat pengangkutan kontena dan pemandu mereka, seperti kesesakan depoh, masa beroperasi dan pungutan wang.

"Surcaj pintu depoh merupakan jalan penyelesaian bagi kesesakan operasi kerana dengan cara itu depoh akan berupaya melabur dalam kemudahan yang lebih baik," jelasnya.

Beliau berkata syarikat perkapalan bukanlah pihak yang memungut surcaj pintu depoh, sebaliknya surcaj itu dinaikkan oleh pengendali depoh ke atas pedagang bagi trak mereka yang singgah di depoh dan sekarang merupakan caj lazim yang dibayar oleh pedagang di seluruh rantau ini.

Kata beliau surcaj pintu depoh di sini dianggap murah kerana di Thailand caj yang dikenakan ialah 400 baht (RM39.50) dan di Singapura, S$8 (RM19.63) bagi setiap kontena.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, berkata kementerian sedang menyelesaikan perkara itu dengan mengadakan mesyuarat hari ini dengan semua pemilik kepentingan, termasuk pemandu lori kontena, pengendali depoh kontena Pelabuhan Klang dan pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementeian Perumahan dan Kerajaan tempatan, Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCIM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Kata Kong, mesyuarat itu bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang kepada masalah yang diketengahkan dan mengelakkan berulangnya bantahan sedemikian.

Artikel Lain