suria

Anggota Peronda Polis Maut Ketika Cuba Tahan Suspek Curi Lori

MELAKA: Seorang anggota polis maut ketika cuba menahan suspek yang melarikan sebuah lori perabot di Kampung Solok Limau Purut, Alor Gajah di sini pagi Isnin.

Mangsa, Koperal Rasul Tumin, 47, yang merupakan anggota Unit Peronda Ibu Pejabat Daerah (IPD) Alor Gajah maut selepas dirempuh lori tersebut yang ditinggalkan suspek di jalan berbukit di kampung berkenaan.

Dalam kejadian pada 6.55 pagi itu, mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) bersama rakan setugasnya, Koperal Hamidi Daud, 49, sedang melakukan rondaan di sekitar Alor Gajah sebelum mengesan sebuah lori tiga tan yang dilaporkan dicuri di Gemencheh, Negeri Sembilan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, mereka kemudian mengejar lori berkenaan selama kira-kira 20 minit sebelum lori terbabit memasuki kawasan kebun kelapa sawit.

"Setibanya di tempat kejadian, pemandu itu melompat keluar daripada lori dan melarikan diri selepas gagal memandu lori berkenaan melepasi jalan berbukit," katanya kepada pemberita selepas menziarah jenazah mangsa di Hospital Melaka, di sini.

Beliau berkata, mangsa yang duduk di sebelah pemandu kenderaan peronda itu kemudian keluar untuk menahan suspek sebelum lori tersebut tiba-tiba berundur ke arah Rasul.

Katanya, Rasul yang telah berkhidmat selama 24 tahun dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengelak bahagian badan lori tersebut namun dirempuh kepala lori terbabit.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan, katanya.

Chuah berkata, siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai tidak menarik brek tangan lori tersebut dan polis kini giat mengesan suspek dengan bantuan unit anjing pengesan, forensik dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Sementara itu, adik mangsa, Karim Tumin, 45, Ketua Unit Teknik dan Vokasional, Jabatan Pelajaran Melaka berkata, berita kematian anak keenam daripada sembilan adik-beradik itu sangat mengejutkan dan merupakan satu kehilangan besar buat keluarga.

Katanya, Allahyarham yang meninggalkan seorang balu, Zuraini Zainal Abidin, 42, seorang jururawat di Pusat Kesihatan Sungai Rambai dan empat anak merupakan seorang anggota polis yang komited terhadap tugas dan bertanggungjawab kepada keluarga.

"Setiap hari arwah akan berulang-alik dari IPD Alor Gajah dan Sungai Rambai kerana keluarganya duduk di sana...arwah juga menjaga ibu dan ayah yang duduk berhampiran rumahnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain