suria

Warga Myanmar Dipenjara Tiga Bulan Bakar Bilik Rumah Majikan

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Myanmar dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membakar bilik rumah majikannya.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhi hukuman itu terhadap Si Zin, 27, selepas dia mengaku bersalah membakar bilik rumah milik Lahundi Latani, 31, di No 11, USJ 1/11, Subang Jaya, pada 3 pagi, 29 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, tertuduh datang ke rumah pekerja milik majikannya kerana tidak mendapat gaji dan mengamuk lalu memecahkan pintu rumah tersebut.

Tindakannya dihalang oleh pekerja yang berada di situ sebelum berlaku pergelutan. Akibat tidak berpuas hati, tertuduh kemudiannya membakar sebuah daripada bilik dalam rumah itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Ruvinna Mohd Rawi yang mengendalikan pendakwaan, meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh akibat tindakannya itu yang mungkin mengakibatkan kecederaan kepada penghuni lain sekiranya mereka berada di tempat kejadian.

Ahmad Solihin memerintahkan Si Zin menjalani hukuman itu dari tarikh dia tangkap iaitu pada 30 April. - BERNAMA

Artikel Lain