suria

Anggota JPAM Sedia Hulur Khidmat Bantuan Bencana Di Luar Negara

KUCHING: Selepas mencatat kecemerlangan dalam khidmat kecemasan dan bantuan bencana di dalam negara sejak 60 tahun lepas, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kini bersedia untuk meluaskan skop perkhidmatannya ke luar negara.

Ketua Pengarah JPAM Datuk Sulaiman Keling berkata anggota agensi bantuan itu bukan sahaja berpengalaman luas dalam menghadapi bencana dan khidmat kecemasan malah juga mendapat latihan pakar dari luar negara khasnya Australia, Jepun, Singapura dan Thailand.

"JPAM kini merupakan sebahagian daripada organisasi yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dan ketika Bangkok dilanda banjir baru-baru ini, kita sudah bersedia untuk mengerahkan anggota kita ke sana jika diperlukan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan pertahanan awam Sarawak di sini, Selasa.

Beliau berkata selain mempunyai 12,000 keanggotaan terlatih, JPAM juga dianggotai 99 anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) yang boleh dikerah menghadapi bantuan bencana seperti banjir dalam tempoh tiga jam pertama jika berlaku bencana.

Katanya anggota Paspa boleh dikatakan sebagai pasukan elit dalam JPAM dan mereka yang diserap dalam pasukan itu merupakan yang terbaik dan boleh menghadapi apa juga bentuk rintangan.

Dalam pada itu, katanya JPAM yakin kemudahan seperti menara penyelamat pantai akan ditambah di beberapa lagi kawasan pantai strategik yang sering menerima kunjungan pengunjung.

Katanya ketika ini terdapat 32 menara tersebut yang dibina di seluruh negara serta dilengkapi kemudahan seperti bot penyelamat, jetski dan kenderaan ATV.

"Pada Mesyuarat Jawatankuasa Biro Pengaduan Awam baru-baru ini JPAM memang ada diminta untuk menambah jumlah menara penyelamat pantai namun bukan sekadar menara, malah juga perlukan kemudahan bantuan lain dan anggota," katanya.

Sehingga April tahun ini JPAM menerima 91,430 kes seluruh negara dengan mangsa seramai 41,706 direkodkan berbanding sejumlah 65,601 kes dengan 32,501 mangsa bagi tempoh masa yang sama tahun lalu. -BERNAMA

Artikel Lain