suria

Anifah Sifatkan Kenyataan Irene Fernadez Sebagai 'Jahil'

BONGAWAN (Sabah): Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman menyifatkan dakwaan Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez bahawa Malaysia tidak selamat bagi pekerja Indonesia, sebagai satu kenyataan 'jahil' dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata kenyataan Irene itu boleh mencemarkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia serta boleh mengundang kemarahan rakyat republik itu.

"Sebagai rakyat Malaysia, sepatutnya dia (Irene) mencari satu penyelesaian terbaik untuk kedua-dua negara kalau dia cintakan Malaysia. Sebaliknya, dia memburukkan Malaysia di negara lain pula," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan basikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Mandahan di sini, Selasa.

Anifah berkata beliau dan rakan sejawatannya di Indonesia bersepakat negara jiran itu akan mencari jalan penyelesaian jika tercetus masalah membabitkan keselamatan rakyat Malaysia di Indonesia akibat kenyataan Irene itu.

Katanya kerajaan juga yakin dengan kemampuan Indonesia untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia di negara berkenaan.

Beliau mengulas kenyataan Irene dalam temu bual berbentuk soal jawab yang disiarkan The Jakarta Post pada 7 Mei lepas, yang antara lain mendakwa Malaysia sebuah negara yang tidak selamat untuk pekerja Indonesia kerana tiada undang-undang khusus menjaga kebajikan pekerja.

Dalam perkembangan lain, Anifah berkata beliau belum mendengar berita mengenai tindakan Arab Saudi terhadap rakyat Malaysia yang melanggar undang-undang negara berkenaan dengan menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di sana pada 26 April lepas.

"Kita menghormati undang-undang Arab Saudi dan apa jua tindakan yang mereka perlu ambil (jika rakyat Malaysia melanggar undang-undang negara itu). Cuma saya gelisah kerana ramai di antara mereka (peserta Bersih) ialah penuntut universiti di sana," katanya.

Anifah berkata tindakan rakyat Malaysia di Arab Saudi itu akan mencemarkan imej negara yang terkenal dengan sikap sopan terutama jemaah haji Malaysia yang sering dipuji oleh kerajaan negara itu.

Terdahulu, Anifah menyampaikan 150 buah basikal kepada enam sekolah di Bongawan iaitu SK Kimanis, SK Pekan Kimanis, SK Mandahan, SK Belatik, SK Sumbiling dan SMK Bongawan 2, sumbangan daripada Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) bagi membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

Anifah, yang juga Anggota Parlimen kawasan Kimanis, turut memberi sumbangan RM5,000 kepada tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Mandahan. BERNAMA

Artikel Lain