suria

Ubah Suai Tangki: Kepala Treler, Lori Penunda Disita

SEREMBAN: Sebuah kepala treler dan sebuah lori penunda disita kerana tangki minyak kedua-dua kenderaan itu didapati diubah suai untuk tujuan pembelian diesel bersubsidi dalam kuantiti melebihi had dibenarkan.

Dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Jalan Seremban-Tampin di sini pukul 3 petang Sabtu, dua pemandu lori berkenaan yang berumur 30-an turut ditahan untuk siasatan.

Serbuan itu membabitkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Negeri Sembilan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Hishamuddin Hashim berkata ketika ditahan, kedua-dua pemandu lelaki terbabit sedang mengisi minyak.

"Pemeriksaan mendapati tangki minyak lori penunda dan kepala treler terbabit telah diubah suai kepada tangki khas yang lebih besar bagi membolehkan minyak diesel diisi dalam kuantiti lebih banyak," katanya di sini, Ahad.

Hishamuddin berkata pihaknya percaya kedua-dua lelaki itu menjalankan kegiatan tersebut lebih daripada sekali pada setiap hari sebelum menyimpan minyak terbabit di tempat pengumpulan mereka.

Katanya modus operandi yang digunakan ialah menggunakan lori penunda dan kepala treler bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kita mengesyaki mereka membeli minyak dalam kuantiti banyak bagi tujuan penyimpanan dan untuk dijual dalam pasaran gelap. Bagaimanapun, kita masih menyiasat jumlah liter minyak yang dibeli dan disimpan oleh mereka berikutan kegiatan haram ini dilakukan lebih daripada sekali setiap hari," katanya.

Katanya kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan dan JPJ turut mengeluarkan saman bagi kesalahan mengubah suai kenderaan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat, manakala bagi syarikat pula dendanya tidak melebihi RM250,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain