suria

Kemala Dinobat Sasterawan Negara ke-11

KUALA LUMPUR: Penyair, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-11 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Baginda turut diiringi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah dan Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Ketika mengumumkan penerima anugerah, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Awang Sariyan berkata, Ahmad Kamal atau nama penanya, Kemala atau Akmal Jiwa dipilih berdasarkan penilaian mutu karya sastera, sumbangan kreatif dan fikiran yang berkaitan dengan dunia sastera, serta kegiatan sasterawan secara berterusan yang mendorong ke arah pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan.

"Pengurniaan Anugerah Sastera Negara merupakan iltizam kerajaan yang berterusan untuk memberikan pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaian sasterawan dalam usaha memperkukuh dan memartabatkan karya kebangsaan.

"Penulis yang memenangi kategori ini akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima," katanya ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-11 di Hotel Istana pada Selasa.

Menurut Awang, sastera kebangsaan ialah karya sastera yang ditulis dalam Bahasa Melayu kerana seluruh penduduk Malaysia sewajarnya dapat membaca dan memahami karya sastera yang ditulis.

"Yang penting ialah mesej, persoalan kemanusiaan, konteks persekitaran, alam sosial dan alam budaya setempat yang melatari karya itu.

"Mesejnya mestilah dapat menembusi sempadan bangsa dan etnik dan berfungsi sebagai pencetus 'nilai-nilai bersama' rakyat Malaysia," katanya.

Kemala dilahirkan di Gombak, Selangor mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas, mula menulis sejak di sekolah rendah lagi dan kini merupakan Sarjana Tamu di Universiti Putra Malaysia.

Sasterawan Negara itu akan menerima Warkah Penghormatan Negara, wang tunai RM60,000 dan penerbitan 50,000 naskhah atau kos cetakan karya penerima anugerah bernilai maksimum RM500,000 untuk dibeli oleh kerajaan dan disebarkan dengan luas ke sekolah-sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Karya-karyanya terutama puisi bukan sahaja diminati dan menjadi ikutan kepada generasi baru malah diminati sama oleh sarjana dalam dan luar negara.

Tokoh berkenaan telah menghasilkan sebanyak 11 buah buku kumpulan puisi, antologi puisi (25), buku kajian sastera (10), buku kumpulan (4), drama (4), buku cerita kanak-kanak (3) dan lebih 50 esei serta kritikan sastera.

Karya-karyanya terutama puisi telah diterjemahkan dalam banyak bahasa China, Urdu, Perancis, Jerman, Belanda, Slovania, Sepanyol dan Serbo-Croatian.

Beliau juga mendapat banyak anugerah dan penghargaan dari dalam dan luar negara antaranya Anugerah S.E.A Write Awards (1986) daripada kerajaan Thailand, Anugerah Pujangga daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (2002) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Tokoh ini juga telah mengasaskan Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (1993) dan tradisi baca puisi di Malaysia yang dimulakan dengan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur (1986).

Semenjak diperkenalkan oleh kerajaan selama lebih tiga dekad lalu, seramai 10 orang sasterawan telah menerima anugerah tersebut.

Antaranya, Kamaluddin Mohamad (1981), Datuk Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), Datuk A.Samad Said (1985), Muhamad Abdul Biang atau Arenawati (1987), Muhammad Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), Syed Othman Syed Omar (2003) dan Anwar Ridhwan (2009).

Artikel Lain