suria

Bekas Tentera Sebabkan Kematian Nenek Dipenjara 19 Tahun

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas anggota tentera dikenakan hukuman penjara 19 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini Selasa selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian neneknya tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan hukuman terhadap Mohd Nassir Abdul Manan, 45, berjalan dari tarikh dia ditangkap pada 13 Okt 2009.

Mohd Nassir, yang juga bekerja sebagai buruh binaan rumah selepas berkhidmat 13 tahun dalam tentera, mengaku melakukan perbuatan itu terhadap Muda Mat Zin yang berusia 80 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Jalan Baru, Bukit Pak Sabah, Dungun, antara 9 pagi dan 7.30 malam pada 12 Okt 2009.

Mohd Yazid semasa penghakimannya, berkata hukuman adalah setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh dan diharap dapat menjadi pengajaran kepada sesiapa agar tidak terlibat dengan gejala dadah yang mampu menyebabkan seseorang itu hilang pedoman dan pertimbangan ketika melakukan jenayah walaupun rapat dan mempunyai pertalian dengan mangsa.

Laporan forensik mendapati Mohd Nassir, yang ketika kejadian di bawah pengaruh dadah, telah menyebabkan kematian neneknya itu dengan melakukan sembilan luka hiris dan takikan di kepala serta 12 torehan di badan wanita itu iaitu tujuh sebelum mati dan lima selepas mati bagi memastikan mangsa tidak bernyawa di mana terdahulunya muka mangsa dilemaskan di dalam besen berisi air.

Dia kemudiannya mencuri wang dan tiga gelang tangan dan dua cincin kepunyaan Muda yang tinggal berseorangan di rumah itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi manakala Mohd Nassir diwakili peguam, Abdullah Muhamad.

Terdahulu, Abdullah memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan kerana Mohd Nassir mempunyai tanggungan isteri dan lima anak dan menyesal serta insaf terhadap perbuatannya itu. - BERNAMA

Artikel Lain