suria

Angkasa Sasar Lebih 6,000 Koperasi Masjid Dalam Tempoh Tiga Tahun

BERA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasar untuk menubuhkan kira-kira 6,600 buah koperasi masjid di seluruh negara dalam tempuh tiga tahun ini.

Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata sasaran itu boleh dicapai sekiranya jawatankuasa masjid proakatif untuk menubuhkan koperasi.

"Penubuhan koperasi masjid bukan sahaja boleh memberi sumber kewangan tetap kepada masjid, malah dapat melatih ahli dan kariah menjalankan perniagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan koperasi Masjid Daerah Bera di sini Jumaat.

Beliau berkata banyak bidang yang boleh diceburi antaranya membekalkan bahan bacaan seperti kitab, barang keperluan masjid selain menjalankan perniagaan membekalkan barang keperluan makanan.

"Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersedia memberi dana kepada koperasi masjid untuk pengurusan, manakala pinjaman turut disediakan bergantung kepada perniagaan yang hendak dijalankan," katanya.

Beliau berkata Angkasa juga bersedia memberikan khidmat bimbingan, kursus dan pemantauan bagi membolehkan ahli koperasi masjid mahir dan berdaya saing untuk menguruskan perniagaan mereka.

Abdul Fattah berkata sehingga kini, 242 buah koperasi masjid telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keahliannya lebih 15,000 orang.

"Negeri Terengganu, Kelantan dan Melaka mengatasi negeri-negeri lain dalam penubuhan koperasi masjid dengan bilangan melebihi 50 hingga 70 buah.

"Manakala di Pahang sebanyak 13 buah koperasi masjid telah ditubuhkan dengan keahlian lebih 3,000 orang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain