suria

Anwar Pertikai Undang-Undang Berkaitan Homoseksual?

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan undang-undang berkaitan kegiatan homoseksual di negara ini.

Beliau yang dipetik sebagai berkata dalam akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan pada Ahad menyifatkan undang-undang tertentu berkaitan dengan kegiatan golongan itu sebagai lapuk dan tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang relevan.

"Kita tidak mempromosikan aktiviti homoseksual ini secara terbuka tapi untuk menggunakan undang-undang ini bagi menghukum mereka yang tidak bersalah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan daripada wartawan BBC mengenai sokongan yang diterima beliau daripada golongan gay di negara ini berikutan pembebasan daripada tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 9 Januari lalu.

Rakaman temu bual selama kira-kira empat minit itu berlangsung pada 12 Januari lalu dan boleh ditonton menerusi laman web BBC Asia di http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-16531714.

Anwar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada pertuduhan itu selepas hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd Saiful Bukhari dan tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Pembebasan Anwar disambut baik oleh beberapa pihak yang cenderung menyokong kebebasan hak kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) termasuk sebuah pertubuhan homoseksual di Filipina.

Artikel Lain