suria

Kanak-Kanak Bukan Melayu Antara 39 Yang Berkhatan

SHAH ALAM: Seorang kanak-kanak berbangsa Cina merupakan antara 39 kanak-kanak yang berkhatan beramai-ramai di Wisma Rozali di sini Sabtu.

Mereka merupakan anak-anak kepada ahli Persatuan Kakitangan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (Peka).

Ng Jun Hau, 7, merupakan anak kepada Setiausaha Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Pauline Wong.

Dia tidak menunjukkan rasa sakit dan turut menunjukkan tanda bagus kepada jurukamera yang mengambil gambarnya selepas selesai dikhatankan oleh Dr Shahrizal Azwan Samsudin.

Bapanya, Ng Wai Hoong berkata beliau mengkhatankan anaknya kerana mengetahui tentang kebaikan berkhatan dari segi kebersihan dan kesihatan diri seseorang.

"Saya mula memujuk anak saya untuk berkhatan Khamis lepas. Mula-mula dia takut tetapi lama-lama dia teruja untuk datang," katanya.

Bagi Muhammad Nur Alid Mohd Sabri, 5, kanak-kanak termuda yang dikhatankan, dia juga merasa seronok dan langsung tidak berasa kesakitan.

"Mak dah janji nak beri hadiah duit selepas saya dikhatankan," katanya yang ditemani ibu, Rosliza Hasan Rahmat, 37.

Majlis itu dirasmikan oleh Puan Sri Faridah Idris, isteri kepada Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Sdn Bhd, Tan Sri Rozali Ismail. - BERNAMA

Artikel Lain