suria

437 KRT Ditubuh Di Pahang Setakat Ini

KUANTAN: Sebanyak 437 kawasan rukun tetangga (KRT) ditubuhkan di Pahang sehingga Oktober lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Beliau berkata bagi tahun ini sahaja, sebanyak 32 KRT diwujudkan di seluruh negeri itu.

Sepanjang Januari hingga September tahun ini, sebanyak 223,952 aktiviti telah dilaksanakan melibatkan pelbagai kaum di KRT seluruh negeri itu.

"Ini mampu membantu ke arah melahirkan sebuah negara yang serba maju di mana masyarakatnya hidup bersatu padu," katanya menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum) pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini Jumaat.

Mohamad Sahfri berkata bagi memperkasakan lagi Rukun Tetangga (RT), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah melaksanakan transformasi melalui enam inisiatif, bertujuan menggalakkan interaksi sosial dalam komuniti.

Katanya, inisiatif tersebut ialah meningkat dan mengukuhkan peranan RT dalam menyelesaikan masalah masyarakat; memberi perkhidmatan terbaik; memperbanyak aktiviti membina jaringan masyarakat; melatih pemimpin RT dalam kemahiran mediasi dan komunikasi; memperkukuh jentera RT; dan meningkatkan kecekapan dan pengurusan RT melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Pahang Datuk Fong Koong Fuee berkata sebanyak 32 kes penipuan gores dan menang direkodkan di negeri itu dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Kesemua kes terbabit telah difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna Cawangan Pahang dengan 30 daripadanya telah diselesaikan sementara dua kes lagi akan didengar dalam masa terdekat.

"Kerajaan akan mengambil tindakan melalui penguatkuasaan undang-undang serta program-program pendidikan dan kesedaran pengguna bagi memastikan kes penipuan gores dan menang tidak lagi berlaku," katanya menjawab soalan Datuk Pang Tsu Ming (BN-Semambu). - BERNAMA

Artikel Lain