suria

Afrika Tawar Potensi Pasaran Besar Bagi Minyak Sawit Malaysia:Dompok

JOHANNESBURG: Afrika, terutamanya Afrika Selatan menawarkan potensi pasaran yang besar bagi industri minyak sawit Malaysia, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

Dompok berkata, pengambilan minyak sawit di rantau itu telah meningkat sejak beberapa tahun ini.

"Tahun lepas, Malaysia mengeksport 151,000 tan metrik minyak sawit ke Afrika Selatan, naik 32 peratus berbanding 2010.

"Sehingga September tahun ini, eksport minyak sawit ke Afrika Selatan mencecah 128,000 tan metrik, peningkatan 11 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2009," katanya dalam ucapan beliau di Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-Afrika Selatan (POTS Afrika Selatan) semalam.

Seminar itu dianjurkan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan organisasi sekutunya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Beliau menggesa, komuniti perniagaan Malaysia dan Afrika Selatan merebut peluang yang ditawarkan oleh pasaran yang pesat berkembang ini.

"Jika komuniti perniagaan boleh menakrif pendekatan dengan menjalin perkongsian dan kerjasama strategik, akan ada banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan minyak sawit.

"Syarikat Malaysia mencapai banyak kejayaan dalam usaha sama bersama rakan kongsi dari Belanda, China, Jepun, Pakistan, Bangladesh dan Liberia," katanya.

Dompok berkata Malaysia, bersama dengan Afrika Selatan dan kemungkinan negara-negara di benua Afrika itu perlu memulakan inisiatif kerjasama untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dalam sektor tersebut.

Beliau berkata, industri minyak sawit merupakan satu daripada tonggak utama ekonomi Malaysia, dan tahun lepas, ia menyumbang pendapatan sebanyak RM65.19 bilion, atau kira-kira 9.8 peratus daripada jumlah eksport.

"Industri itu juga menyediakan peluang pekerjaan langsung kepada kira-kira 570,000 rakyat Malaysia," katanya.

Dompok berkata, tahun ini Malaysia dijangka mengeluarkan 18.3 juta tan metrik minyak sawit.

Sementara itu, pengerusi MPOC Datuk Lee Yeow Chor berkata, pasaran lemak dan minyak di Afrika mempunyai potensi besar memandangkan penggunaan perkapita rendah kurang daripada 12kg berbanding purata dunia pada 24.9kg.

Beliau berkata, objektif utama POTS Afrika Selatan adalah untuk mengenal pasti dan mengoptimumkan laluan bagi minyak sawit Malaysia untuk menembusi pasaran selatan dan timur Afrika. - BERNAMA

Artikel Lain