suria

Wanita Kerugian RM1 Juta Akibat Penipuan Internet

KUALA LUMPUR: Seorang broker insurans menerima igauan buruk dalam hidupnya apabila kerugian lebih RM1 juta akibat penipuan internet.

Wanita tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 47, memberikan sejumlah RM1 juta kepada Kevin Axcel Brown @ Joe yang dikenali menerusi laman cari jodoh pada September lalu.

Joe mendakwa dia merupakan warganegara Kanada berusia 48 tahun yang bekerja sebagai jurutera kimia dengan Petronas di Terengganu dan menggunakan beberapa nombor telefon berbeza untuk berkomunikasi dengan mangsa.

Ketua Biro Khidmat Masyarakat dan Aduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, kebanyakan kes penipuan internet melibatkan janji-janji berkongsi perniagaan dan perkahwinan.

"Sebanyak 13 kes penipuan internet telah dilaporkan pada tahun ini dengan sembilan mangsa terdiri daripada wanita.

"Tidak seorang pun mangsa pernah melihat wajah penipu mereka tetapi mudah jatuh cinta dengan mereka," tambah Chong.

Joe telah meminta Lim pinjaman sebanyak RM1 juta pada Oktober lepas untuk menyelesaikan masalah kewangannya dan Lim membuat deposit kepada tiga bank akaun berbeza yang didaftarkan di bawah nama 'Zanariah'.

Suspek kemudian mendakwa dia berada di luar negara tetapi meminta mangsa bertemunya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Disember.

Lim telah menunggunya selama lebih empat jam tetapi tidak kunjung-kunjung tiba.

Lim juga sebelum itu telah menghantar tambahan AS$7,000 (RM21,000) untuk perbelanjaan perjalanan Joe.

Selain duit simpanan sendiri, Lim meminjam wang daripada rakan-rakan, keluarga dan organisasi kewangan untuk diberikan kepada 'kekasihnya' itu.

Sehubungan dengan itu, Chong menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati memandangkan suspek menggunakan taktik baru untuk menipu mangsa.

"Mereka menunjukkan surat kebenaran palsu malah mencuri nombor telefon organisasi berkenaan," katanya dengan menunjukkan dua surat sokongan yang digunakan Joe untuk meyakinkan Lim.

Kes itu dilaporkan selepas beberapa laporan mengenai kes ugutan menerusi telefon yang memaksa mangsa memberi 'sumbangan' kononnya kepada tabung pilihan raya Barisan Nasional (BN).

Selain itu, penipuan 'polis Bukit Aman' juga bermula tiga minggu lalu dengan mangsa menerima panggilan telefon daripada nombor yang berdaftar di bawah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Dilaporkan, suspek yang menyamar sebagai 'Datuk Halim' dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman menelefon mangsa dan memberitahu bahawa mereka menghadapi tuduhan pelaburan wang haram dan memaksa mereka memasukkan wang menerusi akaun untuk tabung pilihan raya.

Tiga mangsa yang hampir tertipu mendapatkan bantuan daripada Michael Chong.

Menurutnya, terdapat sekurang-kurangnya lapan kes seumpama itu dilaporkan pada tahun ini.

"Mereka mendakwa bertindak atas arahan perdana menteri dan memeras wang antara RM3,000 hingga RM5,000 daripada setiap mangsa," kata Chong dalam satu sidang akhbar.

Ketua Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhammad Khairun Aseh berkata, "Memandangkan penipuan ini melibatkan presiden dan nama baik parti, kita akan mengambil langkah proaktif dan menulis kepada Ketua Polis Negara."

Mangsa dinasihatikan agar membuat laporan polis untuk membantu siasatan.

Kerugian akibat penipuan menerusi telefon mencatatkan lebih daripada RM1.5 juta tahun ini, sementara penipuan internet sekitar RM1.8 juta.

Artikel Lain