suria

Akhbar Malay Mail Berada Di Pasaran Semula 30 Jan 2012

KUALA LUMPUR: Akhbar harian tengah hari berbahasa Inggeris, The Malay Mail akan dijual sebagai akhbar nasional arus perdana pada waktu pagi mulai 30 Januari tahun depan.

Ia akan memuatkan bahan berita yang menarik termasuklah laporan penyiasatan mengenai isu-isu yang menpunyai kaitan dengan pembaca dengan diketuai oleh Pengarangnya, Terence Fernandez.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Redberry Sdn Bhd Datuk Siew Ka Wei berkata, melalui penstrukturan semula itu, The Malay Mail akan "memaparkan berita sebenar."

"Kami mahu menjadi relevan kepada kesemua rakyat Malaysia, dengan bergerak ke hadapan," katanya.

Sejajar dengan matlamat pelaporan berita penyiasatan dan seimbang, The Malay Mail akan membeli secara berpilih-pilih kandungan dari penyedia online, Malaysiakini dan Mole.my.

Siew berkata, Redberry akan mempromosikan The Malay Mail di seluruh rangkaiannya termasuk di luar rumah, runcitan dan cetakan.

Akhbar yang distruktur semula itu akan mengenakan bayaran RM1, kata Ketua Pegawai Eksekutif The Malay Mail, Phillip Karuppiah.

Akhbar itu akan turut memasukkan The Malaysian Reserve, iaitu akhbar perniagaan yang mempunyai kaitan dengan International Herald Tribune sebagai sisipannya. Ia turut akan memuatkan Unreserved, iaitu satu majalah yang diterbitkan dua minggu sekali mengenai seni, budaya dan gaya hidup.

The Malay Mail telah dijual pada 2009 oleh Media Prima Bhd kepada Redberry Group, satu anak syarikat Ancom Bhd yang tersenarai. BERNAMA

Artikel Lain