suria

Persidangan Perwakilan SUPP Diadakan Seperti Dijadualkan: Dr Chan

KUCHING: Persidangan Perwakilan Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang dijadual berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini akan diadakan seperti dirancang meskipun wujud ugutan pemulauan oleh kumpulan yang menyokong seorang daripada calon jawatan Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Presiden parti Tan Sri Dr George Chan berkata Jawatankuasa Pusat SUPP (CC), pihak paling berkuasa dalam parti, mengesahkan Jawatankuasa Pemilihan telah mengendalikan pemilihan bahagian menurut perlembagaan parti dan tidak melanggar apa-apa peraturan.

"Kami akan menjelaskan hal ini kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan CC telah melihat aduan-aduan yang dikemukakan dan memperbetulkan sebahagian daripadanya," katnya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CC terakhirnya sebagai presiden di ibu pejabat SUPP di sini.

Turut hadir seorang lagi calon jawatan Presiden, Setiausaha Penyelaras parti Datuk Seri Peter Chin.

Mengenai sebarang penundaan seperti yang didesak oleh Wong dan para penyokong bagi membolehkan sebarang dakwaan ketidakpatuhan pada pemilihan bahagian diperbetulkan, Dr Chan berkata ia adalah bertentangan dengan perlembagaan parti dan mungkin boleh menyebabkan SUPP dibatalkan pendaftarannya.

Meskipun mesyuarat CC hari ini tidak dihadiri Wong, yang juga Timbalan Setiausaha Agung SUPP dan pemimpin parti yang berpihak kepadanya termasuk Anggota Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King dan Anggota Dewan Undangan Negeri Simanggang Datuk Francis Harden Hollis (Simanggang), Datuk Lee Kim Shin (Senadin), Dr Jerip Susil (Bengoh), Ranum Mina (Opar) dan Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Dr Chan gembira kerana mesyuarat itu berjalan dengan baik.

Anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem, yang mengisytiharkan dirinya berkecuali, menghadiri mesyuarat itu yang menyaksikan kehadiran 69 daripada 126 anggota CC.

Ditanya sama ada tindakan akan diambil terhadap Wong dan para penyokongnya, yang tidak sahaja mengugut untuk memulau tetapi juga mengadakan bantahan serta demonstrasi semasa TDC diadakan serta meletak jawatan beramai-ramai, Dr Chan berkata perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat itu.

Beliau yakin mereka tidak akan meletak jawatan beramai-ramai tetapi katanya adalah menjadi prinsip BN bahawa kerusi yang disandang mereka akan kekal dengan SUPP jika mereka memutuskan untuk bertindak demikian.

Ditanya mengenai spekulasi politik yang menyatakan kumpulan Wong akan membentuk sebuah parti baru, Dr Chan berkata beliau tidak mengetahui perkara itu.

Ditanya sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dijadual merasmikan TDC esok, telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini dalam SUPP, Dr Chan berkata Pengerusi BN ingin melihat SUPP yang bersatu.

"Dalam mana-mana parti, pasti ada perbezaan (pendapat)... kadangkala akan berlaku sedikit kekecohan di sana sini tetapi ini kali pertama kami mengadakan pemilihan terus, jadi peraturan tidak pernah digunakan langsung sebelum ini," katanya.

Mesyuarat itu turut meluluskan pindaan perlembagaan parti bagi menghadkan mereka yang memegang jawatan presiden hanya kepada tiga penggal atau sembilan tahun serta jawatan menteri Kabinet negeri dan Persekutuan selama dua penggal, katanya.

Beliau berkata jawatan senator, setiausaha politik dan anggota majlis pihak berkuasa tempatan juga akan dihadkan untuk dua penggal bagi memberi peluang "generasi muda melahirkan suara mereka".

"Hasrat saya ialah untuk melihat pasukan baru yang cergas membawa SUPP ke dalam dekad baru dengan kepimpinan baru, pemikiran baru dan cara baru dalam melaksanakan sesuatu perkara," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain