suria

Pesakit Mental Didakwa Ugut Warga Emas

KUALA LUMPUR: Seorang pesakit mental mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini Khamis, terhadap pertuduhan mengugut seorang wanita warga emas dengan menggunakan sebilah pisau, Rabu lepas.

Mohd Norsalisham Mohd Salim, 34, didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Noriah Ngah Ramli, 61, dengan perkataan "Aku bunuh kau sial" di Blok A-4-104 Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, Sentul di sini pada pukul 6 petang, 30 November lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa ASP Zulkifli Osman memohon mahkamah supaya menghantar Mohd Norsalisham ke pusat psikiatri di Tanjung Rambutan, Perak, memandangkan tertuduh sedang mendapatkan rawatan sebagai pesakit mental.

Majistret Siti Shakirah Mokhtaruddin membenarkan permohonan itu dan menetapkan 9 Januari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Artikel Lain