suria

Tergerak letak kamera, tetamu terkejut rakaman bongkar perbuatan 3 pekerja resort ketika kemas bilik

Aksi seorang pekerja resort berkenaan yang dirakam kamera. -Foto TikTok @hydemylxu03/Thaiger

SEORANG wanita memberi amaran kepada orang ramai selepas mendakwa kakitangan sebuah resort 'menceroboh' barangan peribadinya ketika dia tiada di dalam bilik penginapan.

Pendedahan itu dibuat menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, @hydemylxu03, pada 7 Januari lalu.

Bagaimanapun, wanita berasal dari Thailand itu tidak mendedahkan identiti mahupun lokasi sebenar resort tersebut. 

Walau begitu, ramai pengguna media sosial membuat spekulasi bahawa resort itu terletak di wilayah Nakhon Ratchasima, berdasarkan dialek tempatan yang didengari dalam rakaman berkenaan.

Menurut wanita itu, dia pulang ke kampungnya sempena cuti Tahun Baharu dan memilih untuk menginap di resort berbanding tinggal di rumah keluarga. 

Sepanjang beberapa hari penginapan, dia turut meminta perkhidmatan pembersihan bilik dilakukan setiap hari.

Tanpa sebab yang jelas, dia mengakui tergerak untuk meletakkan sebuah kamera tersembunyi di atas meja dalam bilik penginapannya bagi memantau apa yang berlaku ketika dia keluar.

Namun, rakaman yang diperoleh ternyata mengejutkan.

Menerusi video tersebut, seorang pekerja wanita kelihatan menggunakan minyak wangi dan pembayang mata miliknya, selain membuka bekas produk penjagaan kulit.

Seorang lagi pekerja pula dilihat menghidu minyak wangi serta memeriksa alat solek, manakala seorang pekerja lain turut memegang barangan yang sama tanpa menggunakannya.

Walaupun mengesahkan tiada barangan yang dicuri, wanita itu mengakui insiden berkenaan membuatkan dirinya berasa tidak selamat dan cemas, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai privasi serta tahap profesionalisme kakitangan tempat penginapan.

Sementara itu, seorang pengguna TikTok mendakwa mempunyai rakan yang bekerja di resort berkenaan dan memaklumkan bahawa kakitangan yang terlibat telah dipecat. 

Namun, dakwaan tersebut masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak resort terbabit. -Agensi

Artikel Lain