TINDAKAN tiga remaja yang bermain mercun, mengakibatkan sebuah kedai tilam musnah dalam kebakaran.Berdasarkan laporan Sanook pada Jumaat, Komander Divisyen 2 Polis Metropolitan, Mejar Jeneral Polis Kiatikul Sonthinern mengesahkan, kebakaran berpunca daripada tiga remaja bermain mercun. "Siasatan mendapati kebakaran yang berlaku lewat malam 29 Disember lalu dicetuskan oleh seorang remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun."Turut bersama mereka adalah seorang lagi remaja lelaki berusia 13 tahun, kesemuanya warga Laos," ujarnya.Menurutnya, kejadian kira-kira pukul 11.40 malam itu berlaku apabila ketiga-tiga remaja terbabit berhenti di lokasi berkenaan sebelum menyalakan mercun sebagai gurauan."Percikan api daripada mercun tersebut telah terkena sofa di dalam khemah kanvas di sebelah kedai tilam."Ia menyebabkan api marak dengan pantas dan merebak ke tiga bangunan komersial empat tingkat," katanya.Tambah Kiatikul, ketiga-tiga remaja berkenaan mengaku mereka panik selepas kebakaran tercetus sebelum melarikan diri menaiki motosikal."Mereka kini telah dipanggil ke Balai Polis Sai Mai bersama penjaga masing-masing bagi membantu siasatan lanjut."Tindakan akan dibuat mengikut peruntukan undang-undang melibatkan pesalah juvana," katanya. -Agensi