suria

Ibu tiri kejam, tekap spatula panas pada kemaluan anak sebab kencing malam

Kanak-kanak sering menjadi mangsa penderaan fizikal. -Gambar hiasan

SEORANG ibu tiri ditahan selepas mencederakan anak perempuan suaminya menggunakan spatula keluli panas.

Kejadian tidak berperikemanusiaan di Kerala, India itu terbongkar selepas mangsa yang baru berusia lima tahun dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di sekolah.

Memetik laporan polis pada Jumaat, suspek yang berasal dari Bihar didakwa bertindak sedemikian kerana mangsa mengalami masalah kencing malam.

Perkara itu mula dihidu oleh gurunya di sebuah pusat pembelajaran pada minggu lalu selepas menyedari mangsa seolah-olah menanggung kesakitan dan mengalami kesukaran untuk duduk dengan selesa di dalam kelas.

Bimbang dengan keadaan tersebut, guru berkenaan segera melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Susulan laporan yang diterima, pihak berkuasa berjaya menahan wanita berkenaan pada Khamis dan dia kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, bapa kepada kanak-kanak tersebut merupakan warga Nepal yang bekerja di sebuah hotel di kawasan berkenaan.

Ketika ini, mangsa telah diselamatkan dan diletakkan di bawah jagaan Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak (CWC) untuk perlindungan serta rawatan lanjut. -Agensi

Artikel Lain