suria

Anak tunggal meninggal dunia, wanita usia 62 tahun berjaya hamil guna kaedah IVF

Berita kehamilan seorang wanita berusia 62 tahun mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen. -Foto Douyin

SEORANG wanita berusia 62 tahun tular di media sosial selepas hamil enam bulan, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Menurut laporan media China, kehamilan wanita warga emas itu didedahkan oleh adik perempuannya menerusi platform media.

Wanita yang berasal dari Songyuan, wilayah Jilin di timur laut China itu menyifatkan kandungan tersebut sebagai 'kepulangan' anak lelaki tunggalnya yang meninggal dunia awal tahun lepas.

Pada Januari 2025, wanita tersebut kehilangan anak lelakinya yang juga merupakan anak tunggalnya. 

Namun, laporan tidak menyatakan usia atau punca kematian anak lelaki kepada wanita tersebut.

Pada pertengahan tahun yang sama, wanita yang identitinya tidak didedahkan itu disahkan hamil melalui kaedah persenyawaan in vitro (IVF).

Dalam satu klip video yang dikongsi secara dalam talian, wanita berkenaan berkata ramai yang meneka kandungannya adalah bayi lelaki kerana keinginannya terhadap makanan manis sepanjang kehamilan.

"Ramai orang memberitahu, disebabkan saya suka makan makanan manis sekarang, bayi ini mungkin seorang lelaki.

"Jadi, ini (kandungan kedua) adalah 'kepulangan' anak lelaki saya," ujarnya.

Disebabkan faktor usia, wanita tersebut menjalani pemeriksaan kehamilan yang lebih kerap berbanding wanita muda, bagi memastikan keselamatan dirinya dan bayi dalam kandungan.

Keputusan wanita tersebut untuk hamil pada usia lanjut mencetuskan reaksi bercampur-baur di media sosial. 

Sebahagian netizen meluahkan kebimbangan terhadap masa depan bakal anaknya itu.

"Adakah anda mempunyai tenaga yang mencukupi untuk membesarkan anak ini? Jika anda dan suami meninggal dunia, anak ini akan menjadi yatim piatu pada usia muda," kata seorang pengguna internet.

Namun, tidak kurang juga yang mempertahankan keputusan pasangan warga emas itu.

"Seseorang memerlukan sokongan rohani untuk terus hidup. Inilah motivasi hidup untuknya," tulis seorang lagi netizen. -Agensi

 

Artikel Lain